SPANCO berusaha pastikan pemanduan cekap kenderaan kerajaan

spanco

PETALING JAYA: Dalam menangani kes kemalangan membabitkan kenderaan kerajaan yang meningkat setiap tahun, SPANCO Sdn Bhd (SPANCO) mengadakan Program Pemanduan Defensif khusus untuk pegawai kerajaan terlibat secara langsung dalam pengendalian kenderaan rasmi jawatan dan kenderaan jabatan.

Ketua Pegawai Eksekutif SPANCO Datuk Hamzah Mohd Salleh berkata program itu dirangka berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian syarikat itu yang menunjukkan jumlah kes kemalangan kenderaan konsesi kian meningkat setiap tahun.

Beliau berkata sebanyak 2,311 kes kemalangan dilaporkan kepada SPANCO sepanjang Januari hingga Julai tahun ini dan ia tinggi berbanding tahun sebelumnya.

“Turut membimbangkan, berdasarkan pangkalan data kami kadar kemalangan tinggi melibatkan Kenderaan Rasmi Jawatan. Lebih menyedihkan apabila terdapat beberapa kemalangan maut akibat kegagalan mengawal kenderaan yang dipandu atau impak tidak memakai tali pinggang keledar,” katanya pada majlis pelancaran Program Pemanduan Defensif itu, baru-baru ini.

Hadir merasmikan program itu ialah Setiausaha Bahagian Pengurusan Aset Awam Kementerian Kewangan Malaysia Romli Dai.

SPANCO sebagai syarikat servis kenderaan kerajaan setakat ini membekalkan perkhidmatan dan menyenggara lebih 12,000 kenderaan semua kementerian dan agensi di bawah kerajaan persekutuan di seluruh negara bermula 1 Januari 1994.

Hamzah berkata sepanjang 23 tahun beroperasi, SPANCO menghadapi pelbagai cabaran terutama bagi memastikan jumlah kenderaan yang paling minimum dalam keadaan “off-road” atau tidak boleh diguna disebabkan kemalangan.

Katanya, ini bukan saja meninggalkan kesan negatif ke atas indeks prestasi utama syarikat, tetapi mengakibatkan kerugian kepada kerajaan akibat kepincangan tugas rasmi disebabkan situasi “off-road”.

“Bersesuaian dengan tagline kami iaitu ‘Sentiasa Bersama Mu’, kami terpanggil mengadakan program CSR sebegini bagi memastikan pengguna kenderaan konsesi turut dilengkapkan dengan elemen pemanduan defensif dan kini, yang sering diwar-warkan, eco-driving.

“Program CSR sebegini memang sudah lama menjadi sebahagian budaya di SPANCO dan kami berharap, bermula hari ini program CSR berkaitan pemanduan defensif dan keselamatan jalan raya akan memacu kemantapan dalam memastikan penggunaan fleet yang optimum,” katanya.

Program Pemanduan Defensif siri pertama yang dilancarkan pada 27 Ogos lalu akan diikuti tiga siri lagi yang dirangka untuk dilaksanakan pada tahun ini.

“Keselamatan pemandu amat penting dan inisiatif sebegini dapat menambah baik kemahiran pemanduan terutamanya pada keadaan kecemasan. Kami bercadang untuk meneruskan program ini tahun depan supaya pegawai kerajaan yang secara langsung mengendali kenderaan kerajaan dapat mengalami program sebegini,” katanya.

Sementara itu, Romli dalam ucapannya berkata kadar kemalangan yang tinggi meninggalkan kesan kepada kepincangan penugasan dan merugikan kerajaan terutamanya apabila melibatkan kemalangan maut.

Katanya, sepanjang Januari sehingga Julai tahun ini saja, terdapat 4 kes kemalangan maut yang melibatkan kenderaan konsesi SPANCO.

“Peningkatan kadar saman had laju melibatkan kenderaan konsesi SPANCO mencecah 72,000 saman turut membimbangkan, kerana ini mencerminkan kebanyakan kita memandu pada kelajuan yang membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain.

“Memandu pada kelajuan tinggi juga akan menyebabkan penggunaan bahan api berlebihan. Dalam menyokong saranan kerajaan untuk mengamalkan langkah penjimatan, pemanduan secara defensif ini serba sedikit dapat membantu menjimatkan penggunaan petrol jika diamalkan kerana pemanduan defensif ini terbukti dan diakui sebagai eco-driving,” katanya.

Beliau berkata program itu diharap dapat menerapkan kemahiran pemanduan defensif dan elemen bertolak ansur serta memahami kebolehan fizikal masing-masing serta kemampuan kenderaan yang dipandu.

Katanya, sejajar dengan peningkatan teknologi industri permotoran, cara pemanduan kenderaan juga haruslah lebih dinamik.

“Walaupun kenderaan dibekalkan kini lebih canggih dan dilengkapi pelbagai perkakasan untuk menjamin keselamatan pemandu dan penumpang, perisian pengguna juga perlu dilengkapkan bersama bagi memastikan kedua-dua elemen ini dapat memberikan penggunaan dan seterusnya pengurusan kenderaan lebih mantap,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi SPANCO di talian 03-6192 8920 (Shaheeran Jalalludin,[email protected]) atau Mohd Fairuz Salleh, [email protected] (03-6192 8932).