3 perompak ditahan lepas 30 minit menyamun

burglar-arrest

KUALA LUMPUR: Dalam tempoh kira-kira 30 minit, polis berjaya menahan 3 lelaki yang terbabit dalam kejadian samun di sebuah kedai barangan elektrik di Batu 16, Rawang petang tadi.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Ali Ahmad berkata ketiga-tiga lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun itu, ditahan selepas seorang anggota Bahagian Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, yang kebetulan berada di lokasi kejadian, bertindak pantas mengesan suspek.

Dalam insiden itu, katanya anggota polis tersebut yang bersama keluarganya dan kebetulan berada berhampiran kedai elektrik berkenaan, terpaksa melepaskan 4 das tembakan kepada salah seorang lelaki terbabit untuk mempertahankan diri kerana suspek bertindak melibaskan pedang samurai ke arahnya.

“Suspek kemudian melarikan diri menaiki sebuah motosikal ditunggangi rakannya, namun anggota polis berkenaan berjaya menahan seorang lagi lelaki dipercayai rakan penjenayah terbabit yang berada berdekatan kedai elektrik itu.

“Dalam tempoh lebih kurang setengah jam, pasukan polis berjaya mengesan dan menahan 2 lagi suspek yang melarikan diri itu di sekitar Rawang,” katanya.

Ali berkata lelaki yang cedera ditembak itu dibawa ke Hospital Selayang untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata semua suspek dipercayai pernah terlibat dalam beberapa kes samun dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata secara berkumpulan.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, seorang lelaki bersenjatakan pedang samurai menyamun seorang peniaga kedai barangan elektrik di Batu 16, Rawang.

Penjenayah terbabit melarikan wang tunai RM330, bagaimanapun ditembak seorang anggota polis yang secara kebetulan berada di lokasi kejadian.