Ahli politik Britain jenamakan Islam guna konsep Inggeris

BritainBRITAIN: Menjenamakan Islam menggunakan pendekatan Inggeris, termasuk dengan menyelarikan doa seperti lagu pujian di gereja, antara yang dicadang bekas Pengerusi Parti Konservatif Britain, Baroness Warsi.

Sehubungan itu, masjid digalakkan mencari inspirasi daripada persembahan lagu di gereja dengan menggunakan muzik dan irama serupa, mempamerkan tradisi yang berkurun lamanya dalam muzik.

Semua cadangan ini dibincangkan dalam satu forum “parti teh berkonsep Inggeris” di Surrey dihoskan Baroness dan dianjurkan badan bukan kerajaan (NGO), British Future.

Baroness ialah seorang menteri Islam ketiga dan wanita Islam pertama mewakili Parti Konservatif dalam Kabinet David Cameron.

Selain itu, Baroness turut mencadangkan agar masjid dibina tanpa menara supaya ia kelihatan lebih “Inggeris” seperti gereja di perkampungan Britain.

Beliau menggesa arkitek dan pereka tampil dengan rekaan baharu bagi pusat ibadat Islam agar serasi dengan persekitaran di negara itu.

Forum perbincangan yang diadakan di Woking Peace Garden, lokasi pengebumian tentera Islam yang meninggal dunia dalam perang dunia kedua itu turut dimeriahkan dengan persembahan koir pasukan sekolah tempatan menyanyi lagu pujian Islam dalam bahasa Inggeris.

“Pengundian Brexit baru-baru ini menunjukkan masyarakat etnik minoriti di England lebih cenderung merasakan diri mereka British berbanding Inggeris,” katanya seperti yang dipetik dalam The Telegraph.

Sementara itu, Dr Avaes Mohammad dari British Future berkata, “Kita ada Islam British, satu terma yang digunakan kebanyakan orang Islam di sini, tetapi dalam kesatuan ini kita semakin mengutamakan keinggerisan di mana kita mungkin memerlukan terma Islam Inggeris.

Katanya, identiti kebangsaan seperti ini boleh membantu membawa semua orang dilihat sebagai satu masyarakat.

“Oleh itu, keinggerisan perlu menjadi platform kepada etnik dan agama minoriti,” katanya dalam laporan yang sama.

Beliau juga mendedahkan ketibaan Islam di England bukan menerusi pendatang Asia Selatan selepas perang tetapi ia warisan yang wujud lebih lama daripada itu.

“Ia berlaku sejak zaman Victoria di mana mualaf di sini membuka masjid pertama dan 400,000 umat Islam berjuang demi Britain dalam Perang Dunia Pertama.

“Menyedari hakikat itu, Islam dan bukan Islam boleh membantu memahami kepelbagaian etnik dalam negara pelbagai kepercayaan dalam kehidupan kita hari ini,” katanya.