Angkuh macam penjajah, Malaysia tak tunduk media Barat, kata menteri

salleh-keruak_wsj_malaysia_600

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan tunduk kepada media Barat yang bertindak angkuh seperti ‘penjajah’ dan ingin memaksa nilai mereka dikenakan kepada negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk laporan terbaru akhbar Wall Street Journal (WSJ) yang mendakwa isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menghabiskan RM24.6 juta (AS$6 juta) sepanjang 2008 hingga 2015 untuk membeli barang kemas, pakaian dan kasut.

Katanya, laporan itu membuktikan WSJ menjadi tidak lebih kepada blog kepartian dan mengabaikan prinsip kewartawanan yang menekankan fakta.

“Serangan berterusan mereka bukan tentang kewartawanan, tetapi tentang memaksa keangkuhan dan visi menyeleweng mereka terhadap Malaysia. Jika kita tunduk, keharmonian dan kestabilan negara kita akan terhakis.

“Namun, zaman ‘yang kuat itu benar’ dan tunduk kepada tuan penjajah sudah tamat. Kita tidak akan tunduk kepada sesiapa, terutama media neo-konservatis seperti WSJ yang dulunya menyokong campur tangan terhadap negara majoriti umat Islam seperti Iraq yang membawa bencana,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di blognya, hari ini.

Dalam laporan bertarikh 12 September, WSJ mendakwa perbelanjaan Rosmah itu dibuat antaranya di gedung mewah Harrods di London dan Saks Fifth Avenue di New York dan dibayar melalui kad kredit.

Ini bukanlah dakwaan terbaru WSJ berhubung perbelanjaan mewah Datuk Seri Najib Razak dan isteri, apabila sebelum ini melaporkan perdana menteri membelanjakan RM61.6 juta (AS$15 juta) untuk percutian dan beli-belah, termasuk RM536,800 (AS$130,625) di sebuah kedai eksklusif di Honolulu, Hawaii, 2 hari sebelum bermain golf dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada Disember 2014.

Salleh yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno berkata laporan WSJ kini hanyalah ulangan dakwaan tidak berasas.

“Mereka tidak pernah berbuat apa-apa untuk membuktikan tohmahan mereka, selain memetik sumber tidak bernama dan dokumen yang kononnya hanya mereka pernah lihat.

“Tindak-tanduk mereka seperti ahli politik dan tukang kempen, bukannya media yang bebas dan berwibawa. Memandangkan minat mereka terhadap politik dalaman negara, WSJ patut menghantar calon bertanding dalam pilihan raya umum Malaysia akan datang,” katanya.