Bekas atlet paralimpik negara yang tidak dikenang

rioatls

Sejak dua hari lalu, laman media hebat memperkatakan berita mengenai ‘wira’ negara yang menyertai acara sukan bertaraf antarabangsa, Paralimpik 2016 di Rio, Brazil.

Paralimpik ialah acara sukan peringkat tertinggi dalam kalangan orang kelainan upaya (OKU) diadakan setiap 4 tahun sekali dan setiap atlet perlu melalui proses kelayakan yang ditetapkan sebelum layak untuk bertanding.

Menurut laman Majlis Sukan Negara (MSN), kontinjen negara mula menyertai temasya paralimpik sejak 1984 di Seoul, Korea Selatan. Selepas itu Malaysia berjaya menempatkan beberapa atlet untuk bertanding di temasya ini pada setiap kali diadakan.

Bagus dan tahniah atas usaha itu. Yakni, OKU juga harus disambut kerana kekuatan mereka memberi semangat sebenar kepada kita yang serba ‘lengkap’ tetapi ada saja kekurangan sosial. Mereka pula kurang daripada segi fizikal atau mental tetapi sempurna ketabahan dan keyakinan.

Bagi saya penyertaan mereka dalam sukan yang seiring dengan Olimpik sudah cukup untuk disambut. Memenangi pingat sudah kira bonus.

Dalam melayari dan membaca kehebatan atlet paralimpik, kemenangan mereka, betapa mereka diraikan di laman sosial, bagaimana setiap perkongsian berbunyi, tanpa mengira kaum dan agama, bangsa dan ras, saya dapat merasai satu semangat kepada kemanusiaan dan kenegaraan yang membara.

Dalam semua perkongsian, posting seorang rakan dan bekas rakan setugas, Syahril A. Kadir (pada 11 Sept) menyentuh hati. Beliau tampil mengenang atlet paralimpik lampau yang juga pernah mengharumkan nama negara. Namun mungkin kerana pada waktu itu kita tak cukup kesedaran dan tak cukup ‘akal’, kita langsung tidak mengendahkan ‘kewujudan’ mereka.

Ataupun mungkin juga kerana ketika itu tiada laman sosial seperti mana sekarang yang mengingatkan kita menghargai manusia-manusia ini. Ataupun mungkin kerana Menteri Sukan dan Belia ketika itu bukan Khairy jamaluddin aka KJ!

Apa pun, salute kepada Syahril yang memaparkan 2 nama wira OKU lampau milik negara di dinding Facebooknya sekali gus menyedarkan orang ramai termasuk saya. Postingnya juga menyelongkar persoalan di mana mereka berada sekarang dan apa agaknya dilakukan mereka selain soal kebajikan.

Agaknya, apakah yang kerajaan dan pihak ‘prihatin’ ketika itu sumbang dalam membantu mereka (OKU) yang membawa nama negara ke persada dunia dalam acara sukan. Harap posting Syahril ini boleh memandu kita kepada keberadaan bekas atlet tersebut hari ini. Harap jika bekas atlet ini memerlukan bantuan, kita (termasuk kerajaan) dapat menghulurkan tangan.

Tulis Syahril (dengan izin beliau untuk dikongsi kepada pembaca FMT);

“Jauh sebelum kejayaan atlet paralimpik Mohamad Ridzuan dan Muhammad Ziyad mencapai kejayaan di Olimpik (paralimpik) seperti yang kita lihat hari ini, P. Mariappan mewakili negara di 6 Sukan Paralimpik sejak 1987. Antara pencapaian beliau adalah memenangi pingat gangsa di Sukan Paralimpik Seoul pada 1988, Paralimpik Barcelona 1992 (gangsa) dan juga mengatasi rekod Sukan Para Asean yang diciptanya dalam kategori bawah 67.5 kilogram lelaki pada temasya Sukan Paralimpik di Beijing 2008.

Apa hasil yang dia dapat? Dua kali dia dibuang kerja.

“Pada Sukan Paralimpik Beijing 2008, atlet wanita, Siow Lee Chan, 41, menang pingat gangsa bagi acara angkat berat. Lee Chan dari Negeri Sembilan yang kedua-dua kakinya tidak berfungsi kerana serangan penyakit polio sejak berusia 7 bulan ialah anak seorang penoreh getah. Dia berjaya mengangkat berat 95kg mengatasi pencapaiannya pada Sukan Paralimpik Athens 2004 dengan angkatan seberat 92.5kg.

Apa hasil yang dia dapat? Beliau terpaksa menyara hidup dengan buka kedai jahit.”

Oh ya, Shahril juga ada mempersoalkan usaha menteri sukan pada masa itu. Saya rasa, tak perlulah kita mengenang kenyataan pahit menteri ketika itu, yang penting atlet seperti Mariappan, Lee Chan dan ramai lagi di luar sana terus dihargai.

Kita masih tak terlambat…