Bekas pengganas bina sekolah agama didik anak militan

Darusy-Syifa

PETALING JAYA: Seorang bekas pengganas Indonesia menubuhkan sebuah sekolah agama berasrama di Sumatera Utara untuk menjaga dan mendidik anak pengganas yang dipenjarakan atau terbunuh.

Darusy Syifa yang ditubuhkan Khairul Ghazali, bekas pengganas yang merompak Bank CIMB Niaga di Medan, Sumatera Utara turut diiktiraf sekolah contoh yang menjadi sebahagian program deradikalisasi Badan Nasional Menangani Keganasan (BNPT).

“Apabila pengganas ditahan, anak dan isteri mereka tidak diendahkan. Ini yang mendorong saya membina sekolah agama untuk mendidik anak militan kerana kerajaan cenderung mengabaikan pendidikan mereka,” katanya kepada The Jakarta Post, Jumaat lalu.

Khairul berkata, beliau menggunakan hasil keuntungan daripada ternakan ikan, penanaman sayur di sekitar sekolah agama itu dan bayaran royalti bukunya untuk membina Darusy Syifa.

“Saya membelanjakan Rp150 juta (RM46,804) untuk membina sekolah agama itu,” katanya sambil menambah sekolah yang terletak di mukim Sei Mencirim, Deli Serdang itu dirasmikan gabenor Sumatera Utara pada 11 Jun lalu.

Beliau berkata, Darusy Syifa sama dengan sekolah menengah lain dan gaji lima guru, yuran persekolahan serta penginapan semua pelajar ditanggungnya.

“Saya bayar semuanya. Tiada bantuan luar diterima,” katanya yang menanggung kos operasi Rp10 juta (RM3,120) hingga Rp12 juta (RM3,744) sebulan.

Khairul berkata, pendidikan adalah cara terbaik untuk mengelakkan generasi muda mengikut jejak ibu bapa, oleh itu sekolah berkenaan menyediakan pendidikan khas bagi mencegah anak banduan terjebak aktiviti keganasan.

Selain 12 pelajar keluarga miskin, sekolah agama itu turut mempunyai 20 pelajar terdiri daripada anak militan terbabit dalam serangan ke atas Balai Polis Hamparan Perak di Deli Serdang, rompakan Bank CIMB Niaga di Medan dan latihan di kem pengganas Jantho Aceh.

Beliau berkata, ada di kalangan pengganas itu yang masih dipenjarakan, ada pula yang sudah dibebaskan, termasuk Jumirin @ Sobirin yang kini bekerja sebagai nelayan di Tanjungbalai, sebuah bandar di Sumatera Utara.

Katanya, beliau kenal semua ibu bapa pelajarnya dan tidak ramai daripada mereka yang masih aktif dengan aktiviti radikal.

“Saya tidak tahu di mana mereka berada sekarang kerana komunikasi kami diputuskan kerajaan,” katanya sambil menambah ramai pengganas yang masih aktif berasal dari Medan dan Aceh.

Ketua BNPT, Jeneral Suhardi Alius berharap masyarakat tidak akan memulaukan anak bekas militan, sebaliknya menerima dan mendidik mereka mengenai bahaya radikalisme.

“Sekolah ini adalah model yang akan ditubuhkan di tempat lain berpotensi wujud kelompok radikal,” katanya ketika menghadiri upacara pecah tanah pembinaan surau di Darusy Syifa, baru-baru ini.

Ketua Polis Sulawesi Tenggara, Rudy Sufahriadi bercadang membina sekolah agama sama di Poso untuk program deradikalisasi di wilyah itu.