Beku aset majikan jika ambil PATI, kata imigresen

mustafar aliPETALING JAYA: Jabatan Imigresen bercadang membekukan aset majikan yang mengupah dan melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

The Star Online memetik Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali yang merujuk peruntukan di bawah Seksyen 56 (1) Akta Imigresen sebagai berkata, pembekuan aset dan akaun bank tidak dikuatkuasakan sepenuhnya selama ini.

“Kami tidak mahu orang ramai terkejut apabila kami akhirnya mengambil langkah ini pada Oktober nanti. Ia bukannya perkara baharu.

“Kami berharap media boleh menyampaikan mesej ini kepada orang ramai untuk meningkatkan kesedaran dan memaklumkan majikan mengenai akibat yang bakal dihadapi, apabila mereka melindungi pekerja asing tanpa izin,” katanya yang dipetik portal berita itu.

Beliau berkata, jabatan itu sudah mendapatkan nasihat perundangan untuk melaksanakan tindakan itu.

“Jabatan ini memberi majikan sehingga akhir bulan ini untuk menyelesaikan segala-galanya, termasuk dokumen perjalanan, visa dan permit pekerja mereka.”

Sementara itu, mengenai isu rakyat Malaysia dilarang keluar negara kerana disenaraihitamkan beberapa agensi kerajaan, Mustafar yang ditukarkan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bulan lalu berkata, sebuah kaunter sehenti 24 jam akan ditubuhkan di lapangan terbang.

“Kami akan berunding dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Insolvensi Malaysia untuk membantu menyelesaikan isu itu.

“Kami ingin mencadangkan agensi terbabit tampil dengan kaunter bantuan 24 jam di lapangan terbang supaya mereka boleh ditemui orang ramai setiap masa.

“Walaupun Jabatan Imigresen dapat dihubungi setiap masa, kami hanyalah pengantara dan semua arahan perlu datang daripada agensi terbabit,” katanya.