Chong Wei akan ke Olimpik Tokyo, jika BWF guna sistem 11 mata

Persekutuan Badminton Sedunia (BWF)PETALING JAYA: Datuk Lee Chong Wei tidak menolak kemungkinan akan terus mewakili negara pada Olimpik Tokyo 2020, jika Persekutuan Badminton Sedunia (BWF) melaksanakan sistem kiraan 11 mata.

Jaguh badminton negara itu yang dipetik China Press mengakui sistem kiraan 11 mata memberi kelebihan kepada pemain “senior” kerana mereka tahu cara menguasai rentak permainan di gelanggang dan mungkin boleh mencabar Lin Dan sekali lagi di Sukan Olimpik.

“Saya rasa sistem 11 mata lebih sesuai untuk saya dan Lin Dan, hanya perlu lihat siapa yang mampu bertahan sehingga 2020.

“Kami bukan pemain tua, cuma lebih senior. Kami berpengalaman, tahu cara kawal permainan, ini memberi kelebihan kepada kami,” katanya dipetik akhbar berbahasa Cina itu ketika menghadiri sebuah majlis hari ini.

Semalam, legenda badminton negara, Rashid Sidek yang dipetik akhbar itu berkata, jika BWF melaksanakan sistem 11 mata, Chong Wei bersama Lin Dan masih mampu beraksi di Olimpik Tokyo 2020, walaupun kedua-dua jaguh badminton itu akan berusia 38 dan 39 tahun, empat tahun kemudian.

“Malah, sistem kiraan baharu juga memberi kebaikan kepada bekas juara All England 2003, Muhammad Hafiz Hashim. Siapa tahu saya pun boleh buat kemunculan semula,” kata Rashid yang kini berusia 48 tahun.

Akhir bulan lalu, Chong Wei dilaporkan berkata, beliau akan bermain setahun lagi sebelum bersara, dengan harapan dapat memenangi kejuaraan dunia pada 2017.

Katanya, Olimpik Tokyo terlampau jauh dan mahu memberi peluang kepada pemain muda beraksi di pentas antarabangsa.

Kejohanan Badminton Antarabangsa Malaysia Celcom Axiata Bawah 19 tahun yang diadakan di Stadium Negeri, Kuala Terengganu pada 6 hingga September lalu menjadi medan uji kaji pertama sistem kiraan 11 mata di Malaysia.

Sistem kiraan 21 mata yang diguna pakai sekarang dilaksanakan sejak 2006, empat tahun selepas BWF memperkenalkan sistem kiraan tujuh mata menerusi lima set permainan terbaik.