Dadah percuma untuk remaja, mana Pemadam dan PBT, soal Tenaganita

drugs

PETALING JAYA: Pengedar dadah sentiasa mencuba taktik baharu untuk menarik golongan remaja, namun Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kelihatan pasif menanganinya.

Ketika dihubungi FMT hari ini, Pengarah Program Tenaganita Aegile Fernandez mempertikaikan kewujudan sistem sokongan Pemadam khusus untuk melindungi golongan remaja.

“Mana Pemadam? Kita tengok tak ada fungsi. Pemadam perlu lihat sekolah, komuniti, tempat dalam bandar.

“Pemadam mesti ada sistem sokongan. Tak ada sistem sokongan untuk golongan remaja akan menyebabkan mereka ikut jalan yang salah,” tegasnya.

Beliau mengulas laporan China Press semalam yang melaporkan pengedar dadah menggunakan jelitawan sebagai umpan untuk mencari pelanggan dalam kalangan remaja dan pelajar, menerusi media sosial Facebook atu aplikasi sosial seperti WeChat.

Menurut laporan itu, gadis cantik akan cuba mendekati dan mengajak mangsa keluar, sebelum memancing remaja dengan memberi “gula-gula percuma” supaya bakal pelanggan akan mencuba dadah percuma.

Seorang pekerja sosial di Pusat Pemulihan Bethany, Batu Pahat, yang dipetik akhbar itu berkata, sindiket mengunakan pelbagai kod untuk berhubung dengan pelanggan muda mereka, bagi mengelakkan kegiatan haram dikesan pihak berkuasa.

Aegile berkata selain Pemadam, pihak berkuasa tempatan juga perlu memainkan sokongan dalam membendung gejala dalam kalangan remaja, melalui pemantauan dan penguatkuasaan ke atas premis dalam wilayah tadbir masing-masing.

“Masuk dalam premis. Mana jual dadah (tindakan) mesti dibuat. Kalau anda tak buat apa-apa kegiatan dadah ini akan berleluasa,” katanya.

Beliau mengeluh situasi dadah di negara ini, yang menurutnya diburukkan lagi dengan budaya rasuah dalam kalangan pihak penguatkuasaan undang-undang.

“Kita ada (masalah) korupsi. Malaysia ada banyak korupsi (sehingga) dadah masuk dalam negara dengan senang,” katanya.

Pautan berita

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/12/pengedar-dadah-guna-awek-jelita-umpan-pelajar/