Duterte arah tentera AS keluar dari selatan Filipina

duterte

DAVAO: Presiden Rodrigo Duterte menambah lagi persengketaannya dengan Amerika Syarikat (AS) dengan mengarahkan semua pasukan khas Amerika keluar dari selatan Filipina di mana mereka menjadi penasihat kepada askar tempatan yang berperang dengan ekstremis Islam di situ.

Perintah Duterte itu dibuat seminggu selepas beliau menggelar Presiden AS Barack Obama “anak haram”, menyebabkan Obama membatalkan mesyuarat bilateral dengan Duterte yang dijadualkan berlangsung pada satu sidang kemuncak di Laos.

Pemimpin Filipina itu, yang pertama berasal dari selatan dan mendakwa berketurunan Islam, menggiatkan usaha membawa keamanan di selatan Filipina, di mana pemberontakan Muslim dan komunis berlaku sehingga dikatakan meragut 150,000 nyawa setakat ini.

Bulan lalu, beliau memulakan semula rundingan damai dengan kumpulan pemisah terbesar, 12,000 Moro Islamic Liberation Front (MILF), yang berjuang sejak 1970-an untuk mendapatkan daerah bebas Islam atau kuasa autonomi.

Penasihat AS di kawasan itu membantu memberi latihan kepada askar Filipina tetapi dilarang terbabit dalam pertempuran kecuali jika ia tindakan mempertahankan diri.

Sebelum ini, kira-kira 500-600 pegawai AS bergilir bertugas di seluruh wilayah Mindanao, tetapi pada 2014, setiausaha pertahanan Voltaire Gazmin pada masa itu berkata ia akan dikurangkan kepada hanya 200 pegawai.

Duterte tidak menyatakan secara terperinci bila atau berapa ramai rakyat Amerika akan dihalau tetapi berkata pelarasan Filipina dengan Barat berasaskan kepada pemberontakan Muslim yang berterusan.

“Pasukan khas AS ini, mereka di Mindanao perlu pergi,” katanya dalam satu perhimpunan kakitangan kerajaan.

“Orang Islam akan jadi lebih gelisah. Jika mereka lihat orang Amerika, mereka akan bunuh dia,” katanya.

Jurucakap Pentagon Gary Ross berkata pihaknya tahu mengenai kenyataan Duterte itu tetapi masih belum dihubungi mana-mana pihak berkuasa berhubung isu itu.

“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan rakan dari Filipina untuk menguruskan batuan kami sewajarnya mengikut kepada apa saja pendekatan diambil pentadbiran baharu negara itu,” katanya.

AS ialah sekutu ketenteraan Manila dan pemerintah kolonial Filipina sehingga 1946.

Dalam ucapannya, Duterte menunjukkan gambar dan memetik bagaimana askar AS membunuh orang Islam ketika pendudukan Amerika di Filipina pada awal 1900, ketika menjelaskan keputusannya.

Jurucakap Duterte, Ernesto Abella berkata “kenyataan itu menunjukkan hala tuju baharu presiden berkenaan terhadap dasar luar yang bebas”.

Pemimpin Filipina itu turut menyelar Obama dan Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon kerana mengkritiknya atas tindakan keras terhadap jenayah yang didakwa mengorbankan 3,000 nyawa dalam tempoh 2 bulan.

“Obama, bila anda menuduh saya membunuh, biar dia yang tiada dosa membaling batu dulu,” katanya.

Dalam pertemuan singkat di Laos, Obama mendesak pemimpin Filipina itu menjalankan aktiviti membanteras jenayah “dengan cara betul” dan melindungi hak asasi manusia, tetapi Duterte berkata ia bukan urusan Amerika.