Ideas: Cari penyelesaian bukannya alasan mewajarkan ekonomi lembap

wan saifulPETALING JAYA: Pucuk pimpinan sedia ada perlu mencari penyelesaian terhadap kelembapan ekonomi negara, bukannya menyalahkan kebergantungan Malaysia terhadap pasaran dunia sebagai alasan untuk mewajarkan keadaan semasa.

Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan berkata, ada faktor dalaman lain yang turut menyumbang kepada kemerosotan ekonomi negara.

“Kita tidak boleh anggap ini sebagai alasan untuk tidak melakukan apa-apa. Ada faktor dalam negara, contohnya isu 1MDB, kebimbangan terhadap kestabilan politik negara dan masalah ketirisan yang boleh menyebabkan persepsi pelabur merosot.

“Walaupun kita boleh nyatakan sebahagian masalah yang kita hadapi ini disebabkan kelembapan ekonomi dunia, tetapi ada juga sebahagian yang berpunca daripada masalah dalaman negara sendiri,” katanya kepada FMT hari ini.

Ahad lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, perdana menteri terdahulu bernasib baik kerana ekonomi negara lebih baik ketika itu disebabkan pasaran dunia dan kenaikan harga komoditi.

Beliau berkata, kemelesetan ekonomi ketika ini bukannya salah pucuk pimpinan negara, kerana kebergantungan Malaysia terhadap pasaran dunia.

Wan Saiful berkata, tidak kira dahulu atau sekarang, setiap perdana menteri berdepan cabaran ekonomi tertentu dan pemimpin sedia ada perlu mencari penyelesaian untuk menyelesaikan masalah yang timbul.

“Zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi pun hadapi situasi ini (kemelesetan ekonomi). Ini tidak bermakna negara perlu menolak cabaran dan kelemahan yang ada,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof Datuk Mohd Yusof Kasim yang menyokong kenyataan Zahid dengan memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Walaupun dalam keadaaan sukar, kita boleh capai nisbah ekonomi lebih baik dalam negara.

“Kebanyakan mereka di luar yang komen, tidak tahu keadaan ekonomi itu sendiri. Kita tidak boleh menyalahkan 1MDB sahaja. Banyak lagi pelaburan lain dalam negara ini yang memberi keuntungan kepada negara,” katanya.

Pautan:

Ekonomi lembap bukan salah pemimpin sekarang, cuma PM dahulu bernasib baik