Juruterbang cuai punca helikopter dinaiki Jamaluddin Jarjis terhempas

Jamaluddin-Jarjis_dead_600PETALING JAYA: Laporan akhir nahas helikopter terhempas di Semenyih yang meragut enam nyawa, termasuk bekas menteri, Tan Sri Jamaluddin Jarjis tahun lalu menunjukkan kemalangan udara itu berpunca daripada kecuaian juruterbang.

Ini kerana, juruterbang tidak memeriksa keadaan helikopter selepas ia membuat pendaratan kasar di sebuah padang bola di Muadzam Shah, Pahang, tahun lalu.

Menurut laporan sepanjang 117 muka surat yang dikeluarkan Biro Penyiasatan Nahas Udara Malaysia, Kapten Clifford William Fournier gagal memeriksa kebocoran minyak berlebihan dan kerosakan kepada bahagian lain helikopter itu selepas pendaratan kasar di Muadzam Shah, sebaliknya beliau memutuskan untuk terus terbang ke Lapangan Terbang Subang.

“Seorang saksi nampak juruterbang itu keluar daripada helikopter dan ditemani seorang penumpang di kawasan rotor utama,” menurut laporan itu yang merujuk kepada Adun Bukit Ibam, Wan Kadri Wan Mahusain.

“Bagaimanapun, beliau (Fournier) tidak melakukan sebarang pemeriksaan ke atas helikopter.”

Satu daripada perbualan yang direkodkan sejurus helikopter itu berlepas dari padang bola berkenaan menunjukkan kecuaian juruterbang itu memeriksa pesawat dan akur kepada arahan penumpang yang mungkin menyebabkan beliau tertekan untuk bergegas pulang ke ibu negara.

Ketika helikopter itu berlepas dari padang, seorang penumpang wanita bercakap melalui interkom “Jangan bimbang, kami tentunya selamat”.

Penumpang wanita itu mengingatkan juruterbang “apa kata turunkan gear kita” dan juruterbang menjawab ” tidak…tidak…tidak…biarkan ia ke bawah, mungkin berlaku kerosakan pada hidraulik atau perkara lain”.

Juruterbang itu berkata: “Ia tentu tidak normal untuk roda mencecah tanah seperti itu. Ia pasti tidak baik untuk mendarat seperti itu”.

Beliau berkata, “Sebenarnya, saya nampak cecair hidraulik bocor dan sebab itu saya tidak mahu mereka masuk dahulu. Ia dikunci dalam kedudukan ke bawah dan kita biarkan ia terus berada dalam kedudukan ke bawah”.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada Perakam Data Penerbangan dan perakam suara kokpit, gear pendaratan kiri terbenam kira-kira 51cm ke dalam tanah menyebabkan helikopter senget lebih 13 darjah ke kiri.

“Sirip pengimbang kiri dan bahagian ekor di bawah pelindung rotor ekor mencecah tanah, menyebabkan pengimbang kiri mengalami sedikit kerosakan.”

Walaupun punca rasmi nahas itu disebabkan pengimbang kiri yang rosak, faktor lain yang mengakibatkan kemalangan itu berlaku termasuk pendaratan tidak dirancang, beban berlebihan pada pengimbang kiri yang patah disebabkan pengurangan kelajuan helikopter secara mendadak dan campur tangan penumpang yang memberi tekanan kepada juruterbang untuk bergegas pulang.

Dalam kejadian pada 4 April 2015 itu, helikopter awam jenis Dauphin 9M-IGB yang membawa ahli Parlimen Rompin itu bersama lima penumpang lain, termasuk Ketua Setiausaha Sulit di Pejabat Perdana Menteri Datuk Seri Azlin Alias, terhempas di Kampung Pasir Baru, Semenyih pada jam 4.55 petang.

Semua mangsa dalam perjalanan ke Subang, selepas menghadiri resepsi perkahwinan anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Taman Tasik Sultan Abu Bakar, Pekan, Pahang.

Mangsa lain termasuk ahli perniagaan Kedah, Datuk Robert Tan; pembantu operasi, Aidana Baizieva; pengawal peribadi, Razakan B Seran dan juruterbang.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2015/05/14/kerosakan-sirip-pengimbang-punca-nahas/