Kasih sayang ubati penyakit mental pelajar

mma-mental-illness-1PETALING JAYA: Kes penyakit mental boleh dikurangkan jika mereka yang cenderung mengalaminya diberikan kasih sayang oleh orang di sekeliling mereka, kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia John Chew.

Beliau berkata ibu bapa dan guru sebagai contoh perlu melawan tekanan kehidupan moden dengan jadi lebih penyayang terhadap mereka yang menghidapi penyakit mental, tidak kira dalam bentuk apa pun juga masalahnya.

“Mangsa kemurungan, contohnya, sering terasing secara sosial, kesan daripada faktor urbanisasi, migrasi dari kawasan luar bandar ke bandar, rasa tidak yakin dengan kerja dan perpecahan keluarga,” katanya

Maka, katanya masyarakat Malaysia secara keseluruhan perlu jadi lebih menyayangi dan mengambil berat serta jadi lebih sensitif terhadap mereka yang mempunyai masalah mental yang tidak bercakap mengenai isu dihadapi mereka.

John berkata demikian sebagai mengulas laporan Bernama mengenai peningkatan masalah mental dalam kalangan pelajar Malaysia.

Memetik statistik Kementerian Kesihatan, laporan itu berkata jumlah mereka yang terbabit meningkat daripada seorang dalam 10 individu pada 2011 kepada seorang dalam 5 individu pada tahun ini.

Menurut Bernama, pakar memetik kebimbangan dan kemurungan ialah faktor utama masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Mereka juga mengenal pasti ada beberapa kes berpunca daripada pengaruh dadah.

Seorang pakar berkata berada terlalu lama dalam masalah mental boleh menyebabkan pelajar jadi pendiam, mengalami skizofrenia dan mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri.

Katanya, kecenderungan untuk membunuh diri boleh meningkat jika masalah itu tidak ditangani dalam tempoh 2 tahun.