Itali saman Charlie Hebdo siar kartun hina mangsa gempa

Majalah Charlie HebdROM: Sebuah bandar di Itali menyaman majalah satira Perancis, Charlie Hebdo kerana menyiarkan kartun menghina mangsa gempa dan menyalahkan mafia atas bencana alam yang meragut hampir 300 nyawa itu.

Majalah itu menyiarkan satu siri kartun bertajuk “Gempa gaya Itali” yang terdiri daripada tiga kartun menggambarkan mangsa gempa sebagai beberapa jenis hidangan pasta di negara itu.

Satu daripadanya menunjukkan seorang lelaki berdarah dan berbalut dengan keterangan “(Pasta) Penne dalam sos tomato manakala kartun kedua ialah seorang wanita dengan kesan calar dan bengkak beserta keterangan “Penne au gratin” serta kartun ketiga ialah sebuah bangunan runtuh dengan kesan darah dan kaki terkeluar daripadanya sebagai “Lasagne”.

Kemarahan Itali itu bagaimanapun tidak menghalang majalah yang terkenal dengan kartun provokatif itu untuk terus menyiarkan satu lagi kartun menunjukkan separuh daripada badan seorang mangsa terperangkap di bawah runtuhan yang disertakan keterangan: “Rakyat Itali…bukan Charlie Hebdo yang bina rumah anda, tetapi mafia”.

Amatrice yang merupakan bandar kelahiran sos pasta “amatriciana” dilanda gempa kuat berukuran 6.2 pada skala Richter, 24 Ogos lalu yang meragut 296 nyawa.

Peguam Majlis Perbandaran Amatrive, Mario Cicchetti berkata, kerajaan tempatan menyifatkan kartun itu “mengerikan, bodoh dan penghinaan tidak masuk akal terhadap mangsa gempa”.

Sehubungan itu, seorang pendakwa raya tempatan diminta menyiasat Charlie Hebdo atas tuduhan “fitnah teruk” untuk mendapatkan ganti rugi sivil.

Walaupun kartun itu diterbitkan di Perancis, Cicchetti berkata, kes itu boleh dibawa ke Itali kerana kartun berkenaan dilihat dan dikongsi secara meluas di negara itu.

Seramai 12 pekerja Charlie Hebdo di pejabat Paris ditembak mati militan pada 2015, kerana mendakwa majalah satira itu menyiarkan kartun menghina Nabi Muhammad.

Sektor pembinaan di Itali berdepan masalah pelanggaran peraturan sejak sekian lama dan jenayah terancang meresapi projek pembinaan tetap serta pembinaan semula pasca bencana.

Cicchetti berkata, terpulang kepada majistret di Rieti, berhampiran Amatrice, untuk memutuskan sama ada akan menyiasat kartunis dan pengarang majalah itu.

Charlie Hebdo enggan mengulas tindakan saman itu.