Malaysia labur AS$1 bilion naik taraf kemudahan lapangan terbang

Badlisham-GhazaliPETALING JAYA: Malaysia merancang membelanjakan kira-kira AS$1 bilion (RM4.12 bilion) untuk tempoh 5 tahun akan datang untuk membaik pulih dan menaik taraf lapangan terbang di Malaysia.

Ini selari dengan pertumbuhan infrastruktur ekoran peningkatan trafik penumpang di negara Asia Tenggara, kata pengendali lapangan terbang utama, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

“Terminal utama mungkin memerlukan naik taraf,” kata Pengarah Urusan MAHB, Badlisham Ghazali merujuk kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Terdapat juga lapangan terbang lain yang berkembang di luar kemampuan. Ini termasuk terminal di pulau pelancongan di Langkawi, Kota Bharu di utara dan Kota Kinabalu di Sabah,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan di Bloomberg.

Naik taraf kemudahan ini dijangka memanfaatkan syarikat penerbangan tambang murah terbesar Asia Tenggara seperti AirAsia Bhd., yang sedang menambah pesawat untuk membuka lebih banyak laluan ekoran permintaan penumpang yang semakin meningkat ekoran tawaran harga kompetitif oleh syarikat itu.

Syarikat Boeing Co. pula mengunjurkan 100 juta penumpang baharu setiap tahun di rantau ini manakala AirAsia, pengendali terbesar pesawat Kumpulan Airbus SE yang berpangkalan di Malaysia, menandatangani perjanjian untuk 100 peswat A321neos untuk terus kekal sebagai pendahulu industri.

Turut mengambil langkah sama menaik taraf lapangan terbang ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong yang memperuntukkan AS$18 bilion untuk menambah landasan ketiga.

Lapangan Terbang Changi Singapura pula akan membuka terminal ke-4 pada 2017 melibatkan kos sebanyak AS$ 941 juta untuk menguruskan 16 juta penumpangnya setahun.

Menurut Badlisham, kerajaan Malaysia akan menyumbang sebahagian daripada pelaburan bernilai AS$1 bilion, dengan selebihnya dari MAHB.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual di New Delhi pada September 7, petik laporan itu.

Bagaimanapun, Bloomberg menyatakan Kementerian Pengangkutan Malaysia masih belum memberi sebarang komen berkenaan perkara itu.

Saham MAHB meningkat kira-kira 17% tahun ini, berbanding sedikit perubahan dalam Indeks KLCI FTSE Malaysia dalam tempoh yang sama.

Badlisham juga percaya terminal penumpang tambang murah di Kuala Lumpur akan mencapai kapasiti kemuncak tahunannya iaitu 45 juta penumpang lebih awal daripada yang dianggarkan, walaupun tanpa banyak pelaburan kerana kebanyakan kemudahan sudahpun lengkap.

Pengguna utama terminal itu adalah AirAsia Bhd., syarikat penerbangan yang banyak mengkritik kerosakan pada kemudahan pada terminal itu termasuk masalah kebocoran dan keretakan dalam bangunan sejak ia dibina.