MAS minta maaf penumpang terkandas 19 jam

mas-india-1
PETALING JAYA : Malaysia Airlines (MAS) hari ini meminta maaf kepada penumpang kerana kelewatan penerbangan yang lama dari Mumbai ke Kuala Lumpur pada 8 September lalu.

Syarikat penerbangan negara itu menyalahkan isu teknikal yang memerlukan juruteranya menjalankan pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat berkenaan bagi membolehkannya ia mendapat kelulusan untuk terbang.

Permohonan maaf menyusuli aduan oleh penumpang yang menyatakan mereka tidak dimaklumkan sebab kelewatan penerbangan yang memakan masa 19 jam.

Penerbangan tersebut sepatutnya berlepas pada jam 2 pagi tetapi akhirnya berlepas pada jam 9 malam.

Penumpang mengadu tiada kakitangan MAS yang membantu mereka atau menguruskan pengangkutan ke hotel yang disediakan untuk mereka.

“Malaysia Airlines meminta maaf kepada penumpang pesawat MH187 daripada Mumbai ke Kuala Lumpur pada 8 September 2016 berkenaan kelewatan penerbangan disebabkan isu teknikal pengendalian pesawat,” katanya menerusi kenyataan lapor Malay Mail Online.

Pengalaman itu dikongsi salah seorang pengguna Facebook Josh Awang yang meluahkan kekecewaannya dan menyatakan penumpang terpaksa berjumpa dengan kru di lapangan untuk mendapatkan maklumat.

Dia turut menyatakan syarikat penerbangan terbabit menempah bilik berkembar untuk penumpang pesawat dengan orang tidak dikenali dan tinggal bersama-sama.

Syarikat penerbangan itu berkata, mereka cuba untuk menguruskan bilik hotel untuk semua penumpang pesawat.

“Bagaimanapun, bilik bujang yang tersedia amat terhad. Makanan telah disediakan di hotel masing-masing.

“Syarikat penerbangan amat kesal terhadap kesulitan yang dialami tetamu dan menghargai kesabaran semua,” katanya.