MRT rancang laluan ke-3 bawah tanah sepenuhnya

Najmuddin-Abdullah_mrt_600

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) kini merancang pembangunan laluan ke-3 Projek MRT Lembah Klang, melibatkan kawasan pusat bandar dan berkemungkinan menjadi laluan bawah tanah sepenuhnya.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Datuk Najmuddin Abdullah berkata MRT Corp melantik perunding bebas untuk mengkaji rancangan itu dan dijangka menyiapkan laporan pertamanya pada suku pertama tahun depan.

“Laluan ke-3 MRT ini sedang dalam kajian dan dijangka hasil daripada kajian tersebut dapat dilihat pada suku pertama tahun hadapan atau suku ke-4 tahun ini.

“Daripada hasil kajian tersebut, baru kita dapat kongsikan lebih banyak maklumat yang berkaitan dengan laluan ini,” katanya pada taklimat media mengenai perkembangan terkini projek MRT Lembah Klang di sini hari ini.

Laluan ke-3 ini, kata beliau, berbentuk bulatan dan tidak terlalu panjang yang bakal memberi perkhidmatan di kawasan pusat bandar di samping berkemungkinan menjadi laluan bawah tanah sepenuhnya.

Sementara itu, katanya sebanyak 58 tren yang diperlukan bagi fasa pertama dan kedua Jajaran Sungai Buloh-Kajang (Jajaran SBK) dijangka tiba secara berperingkat sebelum akhir tahun ini dan bakal menjalani tempoh pengujian secara intensif bermula 1 Okt.

“Bagi fasa pertama Jajaran SBK, sebanyak 24 tren akan digunakan di mana 18 tren akan digunakan untuk operasi harian manakala selebihnya digunakan sebagai tren simpanan pada waktu kecemasan.

“Setakat ini, kami menerima lebih daripada 40 buah tren lebih awal daripada yang dijadualkan dan ia akan melalui proses ‘fitting’ serta ‘setting’ di depot terlebih dahulu seperti pemasangan tempat duduk dan sebagainya,” katanya.

Fasa pertama Jajaran SBK dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen Semantan akan mula beroperasi Disember ini manakala baki laluan dari Stesen Semantan ke Stesen Kajang akan mula beroperasi pada Julai 2017.

Projek sepanjang 51 kilometer melibatkan 31 stesen itu melibatkan kos sebanyak RM23 bilion dan 89% siap setakat ini.

Najmuddin berkata kadar tambang sepanjang Jajaran SBK ini akan diumumkan kerajaan dalam masa terdekat.