Penumpang MH187 MAS terkandas 19 jam

Josh Awang

PETALING JAYA: Cara Malaysia Airlines (MAS) mengendalikan penerbangan Mumbai-Kuala Lumpur yang tertunda 19 jam Khamis lalu dikecam penggunanya.

Seorang penumpang penerbangan MH187, Josh Awang mendakwa dia bersama penumpang lain terpaksa menunggu tanpa sebarang maklumat mahupun maaf diberikan.

Mereka sepatutnya berlepas pada jam 2 pagi tetapi notis tunda tidak diberikan sehinggalah penumpang bersemuka dengan kakitangan di lapangan.

“Pada jam 2.30 pagi, selepas saya mendesak jawapan daripada kakitangan lapangan terbang, dan penumpang lain juga mendesak, mereka beritahu waktu berlepas adalah pada jam 5 pagi,” katanya di Facebook.

“Tidak lama kemudian, waktu berlepas diubah ke jam 6 pagi. (Kemudian) diubah ke jam 10 pagi. Selepas itu mereka kata tak pasti.”

Notis elektronik rasmi diterbitkan kemudian, memaklumkan penumpang bahawa penerbangan ditunda ke jam 5 petang pula.

Pada ketika itu, penumbang diberitahu penginapan hotel akan disediakan untuk mereka.

Malangnya, pengangkutan ke hotel tidak dibantu kakitangan lapangan terbang atau MAS, menyebabkan mereka terpaksa menunggu empat jam lagi untuk ke hotel yang terletak 1.6 km dari situ.

“Sementara menunggu teksi, tidak ada aturan atu kakitangan lapangan terbang atau MAS datang membantu. Kami terpaksa berebut teksi.”

Josh juga mendakwa mereka ditempatkan dalam bilik berkembar, dan orang yang saling tidak mengenali tidak diberi pilihan melainkan berkongsi bilik.

Beliau menyoal nasib seorang perempuan beragama Islam yang terbang seorang diri, apakah dia juga terpaksa berkongsi bilik dengan penumpuang lelaki yang tidak dikenali.

“Setakat ini, kami tak tahu bila waktu berlepas seterusnya. Kami juga tak tahu bila waktu untuk daftar keluar daripada hotel…tidak ada sebarang maklumat.

“Kami juga yang pergi periksa hal itu dengan kakitangan hotel!”

Penerbangan itu akhirnya berlepas pada jam 9 malam.

FMT berusaha mendapatkan maklum balas daripada MAS.