Persatuan pengguna persoal kesahihan pemeriksaan keselamatan menara kren

Mohamed-Idris_kren_600

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mahu suruhanjaya siasatan ditubuhkan bagi menyiasat ketidakberkesanan Jabatan Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).

“Demi untuk melindungi nyawa pekerja pembinaan dan orang ramai, adalah penting bagi DOSH mengubah cara mereka mengendalikan pemeriksaan keselamatan di tapak pembinaan,” kata badan bukan kerajaan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Malah, pemeriksaan keselamatan JKKP mungkin selama ini palsu, tambah Presiden CAP S M Mohamed Idris. “Jika ia tidak palsu, jadual pemeriksaan keselamatan JKKP telah menjadi pemboleh dan bukan pencegahan.”

Jika JKKP menjalankan pemeriksaan keselamatan di tapak pembinaan sepertimana yang didakwa, soal Idris, bagaimana terdapat begitu banyak kren tidak berlesen beroperasi dan pekerja kren haram.

“(Kren tidak berlesan dan pekerja kren haram) meletakkan nyawa orang ramai dan pekerja lain di tapak pembinaan dalam bahaya.”

Sekiranya pemeriksaan keselamatan JKKP tidak palsu, tambahnya, “maka Prosedur Operasi Standard pemeriksaan keselamatan yang dijalankan setiap 15 bulan tidak mencukupi.”

“Inilah apa yang kami tekankan sejak lama dahulu.”

Idris mendakwa, memandangkan jarak masa antara pemeriksaan yang panjang, kontraktor yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam tempoh 15 bulan itu untuk melanggar undang-undang. “Sekali lagi, jadual pemeriksaan keselamatan JKKP telah menjadi pemboleh dan bukan pencegahan.”

Presiden CAP itu mengulas kenyataan JKKP yang melaporkan penutupan beberapa menara kren kerana melanggar langkah keselamatan dan penyelenggaraan. “Mereka mendapati pekerja kren menggunakan lesen kelayakan palsu, walaupun mereka mendakwa mereka telah menjalankan pemeriksaan keselamatan di tapak pembinaan setiap 15 bulan.”

Beliau mengulas laporan media berbahasa Inggeris yang melaporkan JKKP mendapati di Johor sahaja terdapat 47 pekerja kren memiliki lesen kelayakan palsu. Jabatan itu mempunyai senarai yang menyenaraikan 158 pengendali berkelayakan dan 273 kren beroperasi setakat 6 September. Sebanyak 156 kren di tiga negeri dan satu di Wilayah Persekutuan diperiksa JKKP, serta setakat 8 September lepas 43 daripadanya ditutup atas pelbagai kesalahan.

Sebagai langkah segera, Idris mengulangi gesaan kepada JKKP supaya mengambil beberapa langkah pembaikan: mengurangkan masa antara pemeriksaan keselamatan; meningkatkan bilangan pekerja teknikal; dan menjalankan pemeriksaan keselamatan secara rawak.

“JKKP juga perlu mengambil tindakan keras ke atas tapak pembinaan di negeri lain dan Wilayah Persekutuan di samping Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang,” tegas beliau.

Susulan kematian tragik Joice Chin Khoon Sing, yang terbunuh apabila penyangkut kren jatuh menimpa keretanya ketika sedang memandu, JKKP mengumumkan pemeriksaan ke atas tapak-tapak pembinaan.

JKKP berjanji untuk memeriksa samada menara kren yang digunakan berfungsi dengan baik dan pengendalinya berkelayakan sah.