Polis beri kawalan keselamatan peribadi kepada duta Sri Lanka

khalid abu bakar

KUALA LUMPUR: Polis mempertingkatkan kawalan keselamatan untuk Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia, selepas beliau diserang sekumpulan lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), awal bulan ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, anggotanya sedang memburu empat suspek yang turut terbabit dalam serangan ke atas Ibrahim Sahib Ansar.

“Kami sudah tahan lima orang setakat ini. Saya kesal dengan apa yang berlaku dan kami sudah tingkatkan kawalan keselamatan untuk pesuruhjaya tinggi.

“Kami menempatkan sebuah pasukan keselamatan di kediaman serta pejabatnya dan kami turut beri kawalan keselamatan peribadi kepada beliau,” katanya pada sidang media di Bukit Aman pagi ini.

Pada 4 September lalu, sekumpulan lelaki Tamil tempatan dilaporkan menyerang Ibrahim dan setiausaha keduanya, M H M Shuayb di sebuah kawasan larangan KLIA, di mana rakaman CCTV menunjukkan kumpulan berang itu bertindak mengepung dan bertanya soalan kepada beliau sebelum membelasahnya.

Susulan itu, dua rakan yang masing-masing ialah peniaga, A Kalaimughilan, 25, dari Rawang dan pemandu teksi, V Balamurugan, 34, dituduhkan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan merusuh serta mencederakan mangsa di KLIA.

 

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan RM7,000 dan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 October ini.

Pada 1 September lalu, kira-kira 50 orang berkumpul di luar Pusat Dagangan Dunia Putra sambil melaungkan slogan untuk membantah lawatan bekas Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa ke Malaysia untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP).

Mereka turut melabelkan Rajapaksa sebagai “penjenayah perang” kerana membunuh ribuan orang Tamil di Sri Lanka ketika perang saudara tercetus di negara itu.

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata, kawalan keselamatan untuk sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di seluruh negara turut dipertingkatkan.

Ia susulan penahanan tiga suspek militan IS di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang yang bercadang melancarkan serangan menjelang Hari Kebangsaan lalu.

“Semua anggota polis akan terbabit (dalam kawalan keselamatan ini). Kami akan bersiap siaga untuk sebarang ancaman, sama ada daripada IS atau pihak lain yang bercadang mengganggu sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Mengenai masalah berterusan ceti haram di negara ini, beliau berkata, ia masih berlaku kerana ada di kalangan rakyat yang mahu mencari jalan mudah.

“Selagi ada permintaan, aktiviti pemberi pinjaman wang ini, sama ada sah atau tidak sah, akan terus berlaku.

“Saya nasihatkan orang ramai untuk meminjam wang daripada saluran betul supaya mereka tidak menjadi mangsa pemberi pinjaman wang tidak berlesen,” katanya.

Pautan video:

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/06/ditumbuk-bertubi-tubi-klip-video-duta-sri-lanka-diserang-di-klia/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/06/salah-kerajaan-dan-penganjur-duta-sri-lanka-dipukul/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/09/lelaki-serang-duta-sri-lanka-dihadapkan-di-mahkamah/