Sindiket pelacuran sasar kanak-kanak, remaja lelaki di Batam

child-abuse

PETALING JAYA: Sindiket pelacuran di Batam, Indonesia disyaki mula menyasarkan kanak-kanak dan remaja lelaki membabitkan pendatang asing dari Afghanistan serta Pakistan.

Sehubungan itu, Menteri Sosial, Khofifah Indar Parawansa yang dipetik The Jakarta Post menggesa pegawai polis dari Batam, Rempang dan Galang (Barelang) untuk menjalankan siasatan terperinci bagi melindungi anak muda daripada menjadi mangsa sindiket pelacuran.

“Kita perlu pisahkan dua isu dalam perkara ini, iaitu imigresen dan masalah pelacuran. Isu berkaitan imigresen ditangani Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia serta Kementerian Luar Negeri, tetapi aspek pelacuran saya selaraskan dengan pegawai polis Barelang.

“Saya dimaklumkan mereka sudah menyiasat kes ini dan menahan beberapa suspek,” katanya dalam lawatan ke Batam, Sabtu lalu.

Beliau berkata, siasatan dan penguatkuasaan yang dilakukan bertujuan memastikan tiada kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa sindiket pelacuran.

“Ketika ini, kami sedang menyediakan langkah berjaga-jaga untuk melindungi bukan sahaja gadis, tetapi juga remaja lelaki daripada terjerumus dalam kegiatan pelancuran. Ini kerana sindiket pelacuran kanak-kanak mula menyasarkan mangsa lelaki,” katanya.

Pada 6 September lalu, pegawai Imigresen Batam mendedahkan 10 pendatang asing disyaki terbabit dalam sindiket pelacuran lelaki yang menawarkan perkhidmatan seks bukan sahaja kepada wanita, tetapi juga pelanggan lelaki di Batam.

Khofifah berkata, kerajaan menyasarkan untuk menutup 99 pusat pelacuran di seluruh Indonesia, termasuk di Batam, menjelang 2019.