Skim pesara untuk semua wira Paralimpik sekarang dan dahulu

National Sports Council (NSC)

PETALING JAYA: Semua pemenang pingat Paralimpik kini dan dahulu akan diberi pencen bulanan mulai bulan depan, umum Majlis Sukan Negara (MSN).

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Sapawi Ismail menambah atlet Paralimpik yang berjaya akan menerima kadar pencen yang sama dengan yang dijanjikan kepada pemenang pingat Olimpik.

Di bawah skim itu, pemenang pingat emas akan terima pencen RM5,000 sebulan seumur hidup, pemengang pingat perak RM3,000 sebulan manakala pemenang pingat gangsa RM2,000 sebulan.

Menurut Shapawi lagi, Kementerian Belia dan Sukan melalui agensi seperti MSN dan Institut Sukan Negara mahu memastikan masa depan semua atlet Olimpik dan Paralimpik yang mewakili negara terjaga walaupun selepas bersara.

“Jika masih belajar, kita akan taja pengajian mereka. Bagi mereka yang sudah menamatkan pengajian, kami akan bantu jadikan mereka jurulatih atau sediakan pekerjaan yang sewajarnya.

“Kita ada program Program Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE), yang diperkenalkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, menyediakan pelbagai inisiatif untuk atlit kita bersedia menghadapi persaraan,” kata Shapawi.

Beliau menambah Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (Yakeb) juga akan menjaga kebajikan bekas atlet Olimpik dan Paralimpik.

“Selama ini kerajaan menawarkan biasiswa kepada atlet melalui Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan

“Namun, bergantung kepada mereka samada untuk terima inisiatif itu kerana mungkin mereka sudah punyai rancangan atau pilihan tersendiri. Kita akan tetap bersama mereka.”

Nasib yang menimpa pemegang pingat Sukan Paralimpik terdahulu menerjah ke media sosial selepas pencapaian pingat emas, ganjaran dan pencen diumumkan untuk Mohamad Rizwan Mohamad Puzi (100m T36), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru T20/F20) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh T20/F20) tahun ini.

Bekas pemengang pingat Sukan Paralimpik antaranya Mariappan Perumal, yang menang pingat gangsa di Seoul 1988 (angkat berat 57kg) dan Bercelona 1992 (60kg); Cheok Kon Fatt (1992, perak, angkat berat 52kg); Mohamad Khasseri Othman (1992, gangsa, lompat tinggi B2); Siow lee Chan (Beijing 2008, gangsa, angkat berat 56kg); dan Hasihin Sanawi (London 2012, perak, memanah W1/W2)

Pemenang pingat emas tahun ini, Ziyad, menang pingat gangsa untuk lontar peluru F20 pada Sukan Paralimpik di London.

Menurut syarat MSN untuk pemenang pingat Olimpik dan Paralimpik, pencen bulanan hanya diberi untuk satu pingat tertinggi, bukan untuk semua pingat yang terkumpul sekiranya atlet menang lebih dari satu pingat.