Status Laporan 1MDB: Mahkamah akan dengar permohonan Azmin

azminKUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali untuk mendapatkan kebenaran mengubah status Laporan Audit 1MDB oleh ketua audit negara.

Peguam Michelle Kummar yang mewakilinya memberitahu media mahkamah akan mendengar permohonan itu pada 26 Oktober. Terdahulu, peguam menghadiri pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Norazlin Othman.

Azmin memfailkan permohonan mencabar keputusan terhadap status laporan itu pada bulan lalu.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan konflik kepentingan ketika mengeluarkan arahan kepada ketua audit negara meletakkan laporan itu sebagai rahsia kerajaan.

Beliau mahu arahan dikeluarkan terhadap Najib, ketua audit negara dan kakitangan mereka untuk mengubah status laporan itu dan menjadikan ia laporan umum.

Azmin juga memohon pengisytiharan yang keputusan untuk mengelaskan laporan itu sebagai rahsia kerajaan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, beliau mahu laporan berkenaan diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dibentangkan di Parlimen.

Beliau menamakan perdana menteri, ketua audit negara dan kerajaan sebagai responden dalam semakan kehakiman.

Ahli Perkasa, Zahid Md Arip turut memfailkan cabaran yang sama terhadap laporan itu.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang dalam keterangannya di Mahkamah Sesyen ketika perbicaraan terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, berkata beliau mengklasifikasikan Laporan Akhir 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana takut ia akan terbocor.

Beliau memetik “kebocoran” dalam Laporan Interim 1MDB sebagai contoh.

Rafizi didakwa kerana memiliki dan membocorkan Laporan 1MDB pada satu sidang media.