Uber hantar kucing comel menerusi program #UberKucing

#UberKucingPETALING JAYA: Dalam usaha meningkatkan kesedaran terhadap haiwan jalanan, PetFinder.my dengan kerjasama Uber Malaysia dan Paws Animal Welfare Society (PAWS) menganjurkan program #UberKucing di sekitar Kuala Lumpur.

Program yang berlangsung mulai esok itu menggunakan khidmat 8 kereta Uber dan 20 ekor kucing comel. Dalam program itu, pengguna aplikasi Uber berpeluang bermesra dengan kucing di bawah jagaan PAWS.

Pengurus Pemasaran Uber Ashvin Khera berkata sempena pelancaran perkhidmatan Uber di bandar Kuching esok, pemandunya akan memberi peluang kepada pengguna aplikasi itu untuk bermesra dengan kucing di pejabat atau rumah.

Bermula jam 11 pagi hingga 4 petang esok, aplikasi Uber akan menerima tempahan sesi bermain dengan kucing dan haiwan comel itu akan dibawa ke beberapa kawasan terpilih.

“Sesi bermain dengan kucing comel ini akan berlangsung selama 15 minit. Pengguna aplikasi Uber hanya perlu memastikan agar ada ruang sesuai di lokasi masing-masing sebelum kami sampai.

“Anda hanya perlu taip KUCING menggunakan akaun di aplikasi Uber anda. Sekiranya permintaan untuk menghantar kucing ke pejabat anda berjaya, kami ingin anda maklumkan kepada rakan pejabat anda yang alergi kepada bulu kucing tentang kehadiran pemandu kami,” katanya.

Penaung PetFinder.my Andy Koh berkata setakat ini pihaknya menyelamatkan 31,400 kucing dan anjing jalanan yang berjaya diberikan kepada pemilik untuk memelihara haiwan itu.

“Kempen ini ialah salah satu usaha mengutip dana yang akan disalurkan kepada PAWS.

“Orang ramai boleh mula muat turun aplikasi Uber untuk menyertai program itu yang terus dihantar di depan pintu rumah atau pejabat anda.

“Bayarannya tidak mahal, hanya RM30 akan ditolak menerusi akaun Uber anda dan dalam masa sama orang ramai juga boleh menderma terus di pejabat PAWS,” katanya kepada FMT.

Katanya, beliau berharap kempen ini dapat membantu menyelamatkan 11,000 kucing yang masih menanti individu yang sudi memberikan ia tempat perlindungan.

Sehubungan itu, Uber, Petfinder.my dan PAWS menjemput orang ramai untuk memeriahkan kempen amal ini bagi membantu kutipan dana untuk kucing di bawah jagaan PAWS dan pada masa sama dapat bermesra dengan kucing.