Vietnam ekstradisi ‘lanun’ Indonesia ke Malaysia

orkim-harmony

HANOI: Mahkamah Vietnam bersetuju untuk menyerahkan 8 rakyat Indonesia yang ditahan tahun lalu kepada Malaysia kerana disyaki merampas kapal minyak Malaysia – MT Orkim Harmony, menurut laporan.

Kumpulan lelaki terbabit terdampar di barat daya pulau Tho Chu di Vietnam dengan bot penyelamat mendakwa mengalami kemalangan di lautan, pada Jun 2015.

Mereka kemudian ditahan selepas pegawai mendapati mereka membawa wang tunai yang banyak, dan didakwa merampas kapal minyak MT Orkim Harmony.

Pegawai berkata, kumpulan lelaki terbabit bercakap dalam bahasa Indonesia, dan Jakarta serta Kuala Lumpur memohon untuk mendapatkan mereka diekstradisi ke negara masing-masing.

“Mahkamah rakyat Hanoi menolak permohonan kedutaan Indonesia untuk membawa semua suspek pulang ke negara mereka untuk dibicarakan.

“Mahkamah menerima cadangan Malaysia untuk mengekstradisi semua suspek ke Malaysia berdasarkan kepada sokongan perundangan persefahaman Vietnam dengan Malaysia,” kata laman web berita tempatan VNExpress.

Pegawai mahkamah enggan memberi komen, tetapi laporan mengatakan suspek mempunyai 15 hari untuk merayu keputusan berkenaan.

MT Orkim Harmony membawa 6,000 tan petrol bernilai kira-kira AS$5.6 juta ketika ia dirampas pada 11 Jun sewaktu dalam perjalanan dari pantai barat Malaysia ke pelabuhan di Kuantan di pantai timur.

Lapan individu dipercayai lanun itu kemudian berjaya melepaskan diri dengan menaiki bot penyelamat, kata pihak berkuasa Malaysia pada masa itu.

Semua 22 anak kapal MT Orkim Harmony tidak cedera kecuali seorang kelasi rakyat Indonesia yang terkena tembakan di paha.

Kejadian itu yang terbaru membabitkan kapal menjadi sasaran lanun di lautan Asia Tenggara dalam tempoh beberapa tahun terakhir ini yang selama ini menyasarkan kapal tangki bersaiz lebih kecil membawa petrol, diesel atau gas.

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/17/kapal-tangki-bawa-hampir-sejuta-liter-minyak-dilarikan-ke-batam/