Air penyejuk ‘Tiga Kaki’ ditarik balik kerana logo

JAKARTA: Mahkamah Agung Indonesia mengarahkan agar logo jenama minuman Cap Kaki Tiga (juga dikenali air penyejuk Tiga Kaki di Malaysia dan Singapura) ditarik balik sebagai respon kepada tuntutan mahkamah seorang warganegara United Kingdom (UK).

Menurut laporan Jakarta Post, mahkamah pada 2 September yang lalu memutuskan untuk memihak kepada warganegara UK Russel Vince, selepas mendapati bahawa logo jenama itu menyerupai bendera Isle of Man.

Isle of Man atau Mann ialah tanah jajahan pemerintahan “Crown Dependency” yang terletak di Laut Ireland. Crown Dependency adalah wilayah di bawah tanggungjawab UK.

Mahkamah mengarahkan Direktorat Harta Hak Intelek Kementerian Hak Asasi Manusia supaya menarik sijil dan melarang penggunaan logo tersebut.

“Jenama itu sudah ditarik balik daripada senarai sejak 2 September yang lalu,” kata jurucakap Direktorat, Fatlurachman dalam satu kenyataan akhbar pada hari Selasa.

“Cap Kaki Tiga” adalah produk berlesen Kumpulan Wen Ken di Singapura yang dibuat oleh PT Kino Indonesia.

Bagaimanapun peguam Vince, Octavian Adhar mengesahkan keputusan mahkamah hanya tertakluk kepada pasaran Indonesia.

“Tuntutan itu didaftarkan di Indonesia, bukan di ibu pejabat Wen Ken Drug di Singapura. Ini kerana pelanggan kami hanya melihat produk itu diedarkan di Indonesia,” kata Octavian.