ATSB: Masalah komunikasi punca pesawat MAS langgar jambatan udara

atsb

MELBOURNE: Salah faham juruterbang dan kakitangan penyelenggaraan dikenal pasti sebagai punca sebuah pesawat Malaysia Airlines (MAS) terlanggar jambatan udara di Lapangan Terbang Melbourne, pada 31 Mac lalu.

Portal berita Australia, news.com.au memetik laporan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sebagai berkata, kemalangan itu menyebabkan pintu pesawat A330 itu rosak, namun tiada kecederaan dilaporkan.

Menurut laporan itu, salah faham itu berlaku apabila jurutera penyelenggaraan mengeluarkan penyendal gear pendaratan utama, kerana menganggap brek parkir pesawat masih dipasang berdasarkan lampu petunjuk brek di gear pendaratan yang masih menyala.

Bagaimanapun, sebaik sahaja juruterbang kembali ke dek penerbangan dan melepaskan brek parkir, pesawat itu meluncur tiga meter ke arah jambatan udara, menyebabkan penerbangan ke Kuala Lumpur itu terpaksa dijadualkan semula.

Laporan ATSB mendapati “prosedur untuk kru di lapangan dan dalam pesawat tidak diselaras, menyebabkan berlaku salah faham antara mereka”.

“Masalah ini mengurangkan kemungkinan prosedur masing-masing akan diikuti dengan betul.

“Tambahan, kru penerbangan dan jurutera tidak memberitahu tindakan dan hasrat mereka kepada orang lain dengan jelas, mengakibatkan mereka terlepas peluang untuk menemui kesilapan prosedur,” kata laporan itu.

Susulan itu, MAS memaklumkan ATSB yang syarikat penerbangan nasional Malaysia itu bercadang meminda prosedurnya supaya kru penerbangan memaklumkan jurutera penyelenggaraan sebelum melepaskan brek parkir pesawat.

“MAS mengambil langkah sementara dengan memberi peringatan kepada kru pesawat A330 untuk berkomunikasi dengan kakitangan di lapangan, sebelum melepaskan brek parkir bagi mengesahkan penyendal roda belum dikeluarkan,” kata laporan itu.

MAS berdepan beberapa masalah besar sejak kebelakangan ini, termasuk kehilangan MH370 yang masih menjadi misteri sehingga kini dan tragedi MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine, pada 2014.

Pada Jun 2015, sebuah pesawat MAS jenis A330 diarah berpatah balik ke Melbourne dan membuat pendaratan cemas, selepas sistem komputer pesawat itu menunjukkan kebakaran berlaku di bahagian enjin.

Syarikat itu juga diisytiharkan muflis tahun lalu, sebelum beroperasi semula sebagai Malaysia Airlines Berhad di bawah pimpinan bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Christoph Mueller.

Kini, ia diselia Ketua Pegawai Eksekutif baharu, Peter Bellew dengan penambahbaikan dalam operasi dan perkhidmatannya.