Hakim bersara dilantik semula ke Mahkamah Persekutuan

Federal CourtPETALING JAYA: Hakim bersara, Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa dilantik sebagai Hakim Tambahan Mahkamah Persekutuan.

Ini adalah kali ke-2 seorang pegawai kehakiman kembali menyarung jubahnya, selepas hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri S Chelvasingam MacIntyre yang dipanggil kembali berkhidmat pada lewat 1960-an.

Mengikut Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak atas nasihat Ketua Hakim Negara untuk melantik seseorang yang pernah memegang jawatan kehakiman tinggi menjadi hakim tambahan bagi Mahkamah Persekutuan bagi tujuan atau tempoh tertentu.

Unit komunikasi korporat Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan yang dihantar kepada FMT mendedahkan pelantikan Tan bermula 1 Julai lalu untuk tempoh 2 tahun.

Bagaimanapun, tiada alasan diberikan berhubung keperluan pelantikan itu dilakukan.

Tan menamatkan perkhidmatannya sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lalu untuk persaraan mandatori, selepas lanjutan selama 6 bulan.

Bekas peguam itu dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi pada 1996 dan pernah berkhidmat di Pulau Pinang, Muar dan Johor Bahru.

Beliau dinaikkan pangkat ke Mahkamah Rayuan pada 2009 dan Mahkamah Persekutuan pada 2012.

Beliau menganggotai panel 5 hakim yang diketuai Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dalam rayuan kes rasuah bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo pada 19 Januari 2015.

Bekas Adun Sungai Panjang itu dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan hartanahnya dirampas, selepas didapati bersalah membeli dua lot tanah dan rumah di Shah Alam daripada Pengarah Ditamas Sdn Bhd, Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta.

Satu lagi kes berprofil tinggi beliau ialah projek jambatan bengkok penuh kontroversi di Johor Bahru membabitkan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, pada 2015.