Haram bakar hutan, ulama Indonesia keluarkan fatwa

Dr-Chuzaimah-T.-Yanggo

PETALING JAYA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mengeluarkan fatwa mengharamkan amalan membakar tanah ladang dan hutan, lapor akhbar Singapura, The Straits Times (ST).

Ia susulan kegiatan pembakaran hutan yang semakin berleluasa di negara itu, sehingga menyebabkan pencemaran udara dan jerebu teruk di negara jiran termasuk Malaysia dan Indonesia tahun lalu.

“Fatwa ini khusus untuk menangani pembakaran sengaja hutan dan tanah ladang, kita tidak merujuk kepada kebakaran akibat kemalangan,” kata Dr Chuzaimah T. Yanggo dari MUI, yang diasaskan pada 1975 dan dianggotai kebanyakan pertubuhan Islam Indonesia termasuk 2 badan gergasi, Muhammadiyyah dan Nahdatul Ulama.

Chuzaimah berkata mana-mana perbuatan yang disifatkan mengambil kesempatan atau mengabaikan hutan dan tanah dengan melakukan pembakaran adalah haram.

Beliau yang juga anggota kanan jawatankuasa fatwa di MUI berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Perhutanan.

Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan, Siti Nurbaya Bakar berharap langkah MUI akan membantu penduduk khususnya di kawasan luar bandar Indonesia faham akan kesalahan dari segi moral dalam membakar hutan bagi menyediakan tanah pertanian.

Indonesia berhadapan isu kebakaran hutan haram yang serius sejak beberapa tahun lalu sehingga menjadi salah satu penyebab utama krisis pencemaran alam, yang turut dirasai Singapura dan Malaysia.

Bagi mengelakkan masalah jerebu berulang terutama sekali seperti mana yang direkod tahun lepas, iaitu antara yang terburuk, Jakarta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menggunakan kaedah membakar untuk membersihkan tanah terutamanya di Kalimantan dan Sumatera.

Bagaimanapun, amalan pembakaran terbuka terus wujud tanpa dikawal.

ST melaporkan tindakan terbaru MUI dan kementerian diambil selepas insiden di Riau, di mana sekumpulan orang menghalang pegawai kerajaan daripada menyiasat pelanggaran pertanian oleh syarikat perladangan yang tidak bertanggungjawab.

Pensyarah kanan di Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah di Jakarta, Dr Badrus Sholeh menyambut baik fatwa MUI.

“Dalam al-Quran, manusia tidak dibenar merosakkan bumi … termasuk dengan cara membakar hutan,” katanya dipetik akhbar itu.

Beliau percaya pendekatan agama akan membantu usaha kerajaan membasmi pembakaran haram dan untuk itu ulama tempatan digesa membantu menyebarkan fatwa tersebut.

Data satelit laman web Forest Watch Global menunjukkan 295 amaran kebakaran dikeluarkan di Kalimantan pada hari Ahad, manakala Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB) mencatatkan 351 kawasan panas pada hari yang sama.

Angka tersebut, bagaimanapun, jauh lebih rendah daripada 668 kebakaran yang dilaporkan pada tempoh masa sama tahun lepas di Kalimantan.

Kerajaan sedia tutup sekolah lagi jika jerebu bertambah buruk