PETALING JAYA: Umat Islam di Malaysia perlu mengambil iktibar daripada apa yang berlaku kepada golongan minoriti di Perancis yang tidak menunjukkan toleransi terhadap kepercayaan Islam, kata Datuk Raja Bahrin Shah.
Pemimpin Amanah itu berkata ramai umat Islam terpaksa berkorban demi mentaati perintah Allah terutamanya bila berdepan dengan kerajaan yang enggan berkompromi dengan amalan Islam.
Katanya, disebabkan tindakan segelintir pelampau Islam juga keseluruhan orang Islam dikenakan tindakan diskriminasi pakaian termasuk tudung kepala, hijab dan terkini pakaian mandi menutup aurat “burkini” seperti di Perancis.
“Burkini diharamkan di kebanyakan tempat di Perancis dan pemakai boleh ditangkap atau disaman. Sekeping gambar akhbar menunjukkan beberapa polis Perancis mengelilingi seorang wanita pemakai burkini serta berbaju yang sedang dikenakan tindakan undang-undang.
“Anehnya sekeping lagi gambar 1950-an menunjukkan polis Perancis menyaman wanita bukan Islam kerana memakai bikini yang mendedahkan badannya.
“Pada zaman itu masyarakat konservatif Kristian melarang pendedahan aurat dan sekarang pun ramai rahib Kristian bermain air berpakaian jubah penuh mereka, tetapi tiada tindakan undang-undang khusus dikenakan. Ini jelas menunjukkan sikap diskriminasi terhadap pihak minoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Raja Bahrin yang juga ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata berdasarkan kepada apa yang berlaku di Perancis, rakyat Malaysia sebagai golongan majoriti beragama Islam tidak sepatutnya mengambil tindakan seumpama itu.
Katanya, orang Islam di Malaysia sepatutnya menunjukkan contoh yang baik terhadap golongan minoriti walaupun berkuasa ke atas mereka.
“Diskriminasi terhadap agama lain seperti berlaku di Perancis sepatutnya dikutuk serta dijauhi negara Islam dan ajaran Islam sebenarnya diamalkan,” katanya.
Pada masa sama, katanya umat sesama Islam di Malaysia jangan terlalu mudah menjatuhkan hukuman dengan tuduhan keras.
“Marilah kita berhati-hati supaya sikap hukum menghukum dan tekanan ke atas pihak yang berbeza pendirian tidak berlaku di Malaysia, baik melalui perkataan atau perbuatan kita,” katanya.
PAUTAN: