JPN: Bukan semua 159,275 anak luar nikah milik pasangan Islam

marriage

PETALING JAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berkata 159,275 anak yang dilahirkan luar nikah antara 2013-2013 daripada pasangan pelbagai agama.

Jurucakap jabatan memberitahu Berita Harian agama tidak didaftarkan dalam data anak terbabit.

Jurucakap itu mencerahkan laporan Berita Harian pada 13 September yang melaporkan 159,275 anak tak sah taraf membabitkan pasangan beragama Islam.

Laporan itu mencetuskan gempar, dengan pelbagai pihak menggesa langkah diambil untuk perbaiki panduan agama dan pendidikan seks.

Jurucakap JPN menjelaskan takrif anak tak sah taraf untuk pasangan beragama Islam, menurut enakmen undang-undang Islam. Ia termasuklah bayi yang dilahirkan pasangan tanpa dokumen perkahwinan yang sah atau dilahirkan dalam tempoh kurang daripada enam bulan Qamariah, bermula dari tarikh pernikahan ibu kandung.

“Hanya maklumat kanak-kanak dan ibu didaftarkan di dalam sijil kelahiran.

“Maklumat bapa boleh dimasukkan selepas mendapat pengesahan perkahwinan daripada Jabatan Agama Islam,” kata jurucakap itu.

Dalam kes itu pasangan bukan beragama Islam, taraf anak dianggap tidak sah sekiranya ibu bapa tidak mengikut undang-undang sivil, tambah jurucakap itu.

Semalam, Berita Harian menyiarkan pecahan anak tak sah taraf secara tahunan, yang menunjukkan 53,492 kelahiran pada 2013, 54,614 pada 2014 dan 51,169 tahun lepas.

Tinjauan keatas kesihatan seksual dan pembiakan remaja, oleh Durex dan Perspective Strategies pada Mei lalu menunjukkan pendidikan seks oleh kerajaan gagal menerapkan kesedaran seks dalam majoriti belia.