Kadar sewa dijangka jatuh 30%, kata penganalisis hartanah

siva shanker

PETALING JAYA: Permintaan rendah dan lebihan bekalan unit kediaman bertingkat tinggi mungkin menyebabkan kadar sewa jatuh sehingga 30% untuk tempoh 2 tahun akan datang, lapor The Malaysian Reserve.

Ketua Pelaburan Axis REIT Managers Berhad, Siva Shanker berkata, ribuan unit kediaman itu yang baru siap dibina, dijangka membanjiri pasaran pada 2017 serta 2018 dan menjejaskan pasaran hartanah.

Beliau bagaimanapun berkata, peningkatan mendadak dalam pasaran sewa tidak akan kekal lama dan pulangan terhadap keseimbangan pasaran akan wujud sejajar sentimen ekonomi.

“Kebanyakan pemilik unit itu tidak boleh menanggung kerugian kerana perlu membayar pinjaman dan tiada pilihan kecuali menyewakan unit mereka,” katanya sambil menambah perang sewa djangka bermula, di mana pembeli akan bersaing untuk mendapatkan penyewa, lapor akhbar kewangan itu.

Siva berkata, kadar sewa akan merosot sehingga 30% berbanding unjuran pulangan sewa 2 hingga 3 tahun lalu.

Sektor hartanah Malaysia berkembang pesat sejak lima tahun lalu. Permintaan dan pulangan tinggi adalah faktor yang mendorong pemaju membina kediaman bertingkat tinggi dan mewah.

Bagaimanapaun, pasaran hartanah terjejas disebabkan kemerosotan ekonomi negara. Sejak tahun lalu, jualan hartanah berkurangan dan mempengaruhi harga saham pemaju tersenarai awam di Bursa Malaysia.

Jumlah ekspatriat yang meninggalkan Malaysia selepas diberhentikan turut menyebabkan banyak unit kediaman bertingkat tinggi tidak berpenghuni.

Dalam satu laporan kajian sektor hartanah, agensi hartanah Knight Frank Malaysia mendedahkan pemilik hartanah sanggup mengurangkan sewa demi mendapatkan penyewa disebabkan kejatuhan harga minyak dan pengurangan tenaga kerja.

Siva berkata, walaupun ada yang mengatakan orang asing datang ke negara ini untuk membeli hartanah, namun hartanah tempatan dipacu penggunaan domestik.