Kajian: Susah dapat kerja kerana majikan memilih

skootjobs_job_600

KUALA LUMPUR: Majikan di Malaysia pada masa ini lebih memilih ketika mengambil pekerja berbanding beberapa tahun lalu, menurut kajian sebuah syarikat pencarian kerja atas talian.

Ketua Pegawai Eksekutif SkootJobs.com Asim Qureshi berkata ini kerana berdasarkan kepada kajian atas talian syarikat itu mendapati hanya 3.5% pencari kerja berpendapat mudah atau sangat senang mendapatkan pekerjaan dalam pasaran yang rendah pada masa sekarang.

Katanya, responden berkata bukan mudah mendapatkan pekerjaan pada masa ini sedangkan pasaran kerja di Malaysia secara tradisionalnya agak besar di mana majikan terpaksa berdepan dengan pusing ganti kakitangan.

“Kadar pengangguran di Malaysia sekitar 3.4% pada tahun ini, ia paras yang rendah, tetapi tertinggi sejak 2009. Antara 2009 dan 2016, kadarnya berlegar sekitar 3%. Agak mengejutkan apabila secara relatifnya paras pengangguran masih rendah tetapi pencari kerja masih sukar mendapatkan pekerjaan.

“Kaji selidik itu menunjukkan pasaran pekerjaan agak sukar sekarang dan pencari kerja merasakan kesukaran itu,” katanya.

Dalam kaji selidik dijalankan SkootJobs.com itu, 80.6% daripada 1,700 pencari kerja yang memberi respons terhadap kajian itu berkata ia sama ada sukar atau sangat sukar mendapatkan pekerjaan pada masa ini.

Bagaimanapun, mereka percaya prospek jangka panjang Malaysia baik dengan 70.3% berkata prospek ekonomi dan politik negara baik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi sebuah syarikat perisian penyelesaian gaji di Malaysia, www.PayrollPanda.my, Toine Vaessen berkata ia serampang dua mata, meskipun tidak bagus apabila pencari kerja terpaksa bersusah payah mencari pekerjaan, tetapi ia sudah pasti menjadikan Malaysia menarik kepada majikan berbanding negara jiran.

“Semakin ramai tenaga kerja di Malaysia pandai dan mampu berbahasa pelbagai bahasa dan pada masa ini, agak mudah mendapatkan bakat hebat di Malaysia. Melihat kepada pentingnya mendapatkan pasukan tepat untuk perniagaan anda, saya rasa banyak perniagaan sedang sedia bertapak di sini sehingga pasaran meningkat,” katanya.