Lepas jumpa Anwar, peguam AS mahu temui Zahid

Kimberley-Motley_zahid_anwar_600

SUNGAI BULOH: Peguam baharu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kimberly Motley, mahu menemui Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dipercayai mempunyai maklumat berhubung kes liwat II.

Peguam warga AS itu berkata demikian di perkarangan Penjara Sungai Buloh hari ini, seusai pertemuan satu jam dengan anak guamnya pada 3.10 petang tadi.

“Saya mahu berjumpa timbalan perdana menteri, malah saya sedia temui semua pihak yang punyai maklumat berhubung kes ini — sesiapa sahaja yang mahu bercakap mengenainya.

“Terus-terang saya tak faham bagaimana beliau boleh didapati bersalah. Saya fikir semua orang dalam keadaan waspada menjelang perbicaraan nanti,” kata peguam hak asasi itu kepada pemberita.

Anwar, 68, memfailkan semakan kehakiman tahun lalu dan Mahkamah Persekutuan dijangka mendengarnya pada 12 Oktober nanti.

Semalam, Kimberley terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas dihalang bertemu bekas ketua pembangkang di penjara.

Anwar kini sedang menjalani hukuman lima tahun selepas didapati bersalah atas tuduhan salah laku seks terhadap bekas pembantu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kimberley dilantik membela Anwar secara pro-bono, yang juga Ketua Umum PKR, pada Rabu minggu lalu.

Dalam satu laporan FMT hari ini, peguam jenayah Datuk N Sivananthan berkata peguam Anwar perlu menyakinkan mahkamah yang pensabitan dakwaan tahun lalu itu adalah tidak sah, berat sebelah atau prejudis.

Beliau menjelaskan mahkamah hanya akan mengetepikan keputusan sebelum ini jika ia berpuas hati syarat ketat dipenuhi di bawah Peraturan 137 Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995.

Susulan itu, katanya mahkamah akan mendengar rayuan dan pada peringkat inilah peguam Anwar dapat memberikan hujah mereka berdasarkan fakta dan undang-undang.

Hanya satu cara bebaskan Anwar