MMA: Kejutan septicaemic mungkin sebab pelajar tahun 6 hidap gangren

mma

KUALA LUMPUR: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, ada kemungkinan seorang pelajar yang mengalami komplikasi kesihatan selepas meminum susu di sekolah mungkin mengalami keadaan dikenali sebagai “Kejutan Septicaemic” yang menyebabkan gangren.

Ketika dihubungi Bernama, Presiden MMA Dr John Chew melalui pesanan teks berkata pelajar berusia 12 tahun itu mungkin mengalami kejutan septicaemic, menyebabkan tekanan darah rendah yang mengakibatkan gangren pada bahagian kaki.

“Amputasi adalah satu-satunya cara untuk menyelamatkan nyawanya,” kata doktor itu ketika ditanya sama ada terdapat alternatif lain untuk pulih tanpa memotong kakinya.

Menurut jurnal perubatan, kejutan septicaemic ialah akibat jangkitan yang menyebabkan perubahan drastik dalam badan yang berbahaya dan berpotensi mengancam nyawa.

Menurut laporan, pelajar Tahun Enam itu, Saziila Anuar dari Segamat meminum susu yang disediakan oleh pihak sekolahnya, menyebabkan dia dimasukkan ke hospital pada 27 Julai kerana komplikasi kesihatan.

Pelajar itu kemudian koma semasa menerima rawatan. Apabila sedar, kaki kirinya menjadi kehitaman akibat jangkitan gangren dan doktor kemudian memaklumkan kepada ibu bapanya bahawa kakinya perlu dipotong.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan bahawa pelajar tersebut dijangkiti bakteria lama sebelum dia masukkan ke hospital dan bukan disebabkan meminum susu di sekolah.

“Laporan yang menyatakan pesakit menerima ubat yang salah dan meminum susu yang menyebabkan dia mengalami gangren adalah tidak berasas,” katanya melalui pesanan teks.

Sementara itu, seorang pengamal klinik swasta yang tidak mahu namanya disiarkan berkata adalah luar biasa bagi seseorang dijangkiti gangren akibat meminum susu.

“Adalah tidak mungkin bagi pelajar berkenaan mengalami gangren kerana meminum susu. Ada kemungkinan kakinya mengalami kecederaan yang menyebabkan gangren atau beberapa komplikasi lain,” kata doktor tersebut.