Munafik filem pertama Malaysia tembusi pawagam Indonesia

munafik

PETALING JAYA: Filem Munafik arahan pengarah Syamsul Yusof sekali lagi memecah rekod industri hiburan apabila menjadi filem Malaysia pertama yang berjaya tembusi pawagam Indonesia.

Bakal ditayangkan di beberapa buah pawagam di seluruh Indonesia, filem yang menelan kos sebanyak RM1.6 juta akan mula ditayangkan 5 Oktober.

Timbalan Pengarah Urusan Skop Production Azman Ismail memberitahu pihaknya berada di Jakarta untuk proses akhir persiapan tayangan ulung.

“Setakat ini segalanya berjalan lancar. Kami berterima kasih kepada seluruh pengamal media Indonesia terutama detik.com yang memberi liputan luas dalam mempromosikan filem arahan Syamsul ke sembilan ini.

“Pihak Skop yakin filem ini bakal mengulangi kejayaan yang sama di Malaysia kerana melihat pada permintaan seram di republik ini sememangnya tinggi,”katanya kepada FMT.

Beliau memaklumkan pengedar filem terbesar di Indonesia, MD Pictures bertanggungjawab memastikan Munafik pecah panggung.

“Sebagai satu syarikat pengeluar filem yang cukup gah di Indonesia, Skop amat yakin Munafik dapat menarik perhatian penonton Indonesia.

“Selepas ketiadaan filem seram berkualiti selama empat tahun di sini, sudah tiba masanya mereka dipersembahkan karya agung yang baru memenangi Anugerah Filem Terbaik Nasional di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28,”katanya.

Ketika ditanya mengenai jumlah sasaran penonton yang bakal ke pawagam, Azman memberitahu pihaknya menjangkakan seramai 300,000 penonton.

“Itu hanya sasaran. Mungkin lebih daripada itu, kita doa semuanya dipermudahkan,”katanya.

Filem Munafik meraih kemenangan menerusi kategori Pengarah Filem Terbaik (Syamsul Yusof) dan Penyunting Terbaik di FFM28.

Filem Munafik turut mencipta sejarah dalam industri perfileman tempatan apabila mencatat kutipan keseluruhan sebanyak RM19 juta selepas 49 hari tayangan sekali gus menjadi filem tempatan paling laris.

“Alhamdulillah, saya terharu dan berbangga dengan tayangan filem di Indonesia kerana filem Malaysia berkonsep seram dengan elemen dakwah dan ketuhanan ini dapat menyakinkan pengedar dan diberi ruang untuk penonton di sana menikmati karya kita,” kata pengarah filem Syamsul Yusof.

Beliau yang kini dalam proses menyiapkan skrip Munafik 2 yakin dengan kepentingan jaringan promosi global dalam meningkatkan penerimaan karya Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Filem bergenre seram beridentitikan tempatan dengan suntikan elemen universal mempunyai pasaran besar yang boleh terus diteroka,” katanya.