Peguam AS saran media lawat Anwar di penjara

Kimberley-Motley

PETALING JAYA: Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan pengamal media melihat sendiri keadaan bekas ketua pembangkang di Penjara Sungai Buloh.

Kimberley Motley menjelaskan Perlembagaan Persekutuan dan jaminan kebebasan bersuara yang termaktub membenarkan sesiapa sahaja bertemu Ketua Umum PKR itu.

“Saya menyarankan anda sebagai pengamal media bercakap sendiri dengan Anwar dan mendapatkan jawapan sendiri mengenai soalan-soalan terhadap Anwar,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Penjara Sungai Buloh petang tadi.

Beliau menjawab soalam pemberita mengenai keadan dalam sel Anwar. Peguam warga Amerika Syarikat itu tidak melihat sel kerana beliau dan anak guamnya berbincang di bilik khusus untuk peguam.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabit kesalahan atas tuduhan salah laku seks terhadap bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Semalam, Kimberly terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas dihalang bertemu bekas ketua pembangkang di penjara. Star Online melaporkan peguam Anwar sudah memaklumkan pihak berkuasa pada 10 September lepas akan rancangan pertemuan itu.

Kimberley mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana membenarnya beliau bertemu anak guamnya hari ini.

Beliau akan pulang ke AS dan akan kembali pada 12 Oktober depan bagi sesi semakan kehakiman kes liwat II.

“Saya tidak akan mengetuai pasukan guaman Anwar. Saya cuma sebahagian daripada pasukan guaman. Saya akan membawa perspektif baharu daripada sudut strategi perundangan,” katanya.

Pautan:

Lepas jumpa Anwar, peguam AS mahu temui Zahid