Pencari kerja perlu realistik, tak memilih

Samsuddin-Bardan_pekarja

PETALING JAYA : Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata pencari kerja seharusnya lebih fleksibel dan tidak terlalu memilih.

Ketua Pegawai Eksekutif MEF Datuk Samsuddin Bardan berkata antara sebab pencari kerja tidak diambil bekerja adalah kerana permintaan gaji mereka yang tidak realistik.

“Pencari kerja tidak harus mengatakan mereka boleh bekerja jika (majikan) hanya memberikan gaji yang dimahukan.

“Kalau itu berlaku majikan akan terbantut hasrat untuk mengambil mereka bekerja,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kajian sebuah syarikat pencarian kerja atas talian yang menyatakan majikan di Malaysia pada masa ini lebih memilih ketika mengambil pekerja berbanding beberapa tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SkootJobs.com Asim Qureshi berkata ini kerana berdasarkan kepada kajian atas talian syarikat itu mendapati hanya 3.5% pencari kerja berpendapat mudah atau sangat senang mendapatkan pekerjaan dalam pasaran yang rendah pada masa sekarang.

Samsuddin berkata lazimnya bagi sektor swasta, gaji pekerja akan disemak mengikut keperluan dan prestasi pekerja terbabit.

“Jadi kalau pekerja menunjukkan prestasi kerja yang tinggi, tidak mustahil majikan memberikan mereka kenaikan gaji selepas 3 atau 4 bulan bekerja, tidak perlu tunggu setahun. Gaji itu akan diselaraskan berdasarkan prestasi mereka sendiri,” katanya.

Samsuddin pada masa sama turut mengakui kebanyakan majikan memilih untuk mencari pekerja bagi memenuhi keperluan yang dimahukan mereka.

“Kalau mereka ada pilihan, katakan 5 orang mencari kerja, mereka akan pilih yang terbaik saja dan biasanya ini berdasarkan kebolehan berkomunikasi, bekerja sebagai satu kumpulan dan mempunyai kualiti kepimpinan.

“Itu kebiasaannya apa yang dicari majikan ketika mereka cuba menggajikan pekerja,” katanya.

Pautan :

Kajian: Susah dapat kerja kerana majikan memilih