Populasi bertambah, 13 DUN Sabah baharu satu keperluan

sabah

PETALING JAYA: Cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menambah 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah adalah satu keperluan sejajar pertambahan populasi penduduk di negeri itu, kata ketua pembangkang Sabah.

Datuk Seri Lajim Ukin berkata, 60 kerusi DUN di Sabah yang kekal sejak 1990-an tidak lagi sesuai dengan populasi penduduk di negeri itu yang kini melebihi 3.4 juta orang.

“Sekarang ini, kawasan sudah besar, populasi juga bertambah…ini akan membolehkan wakil rakyat memberikan perkhidmatan lebih efisien dengan penambahan kerusi.

“Macam (kawasan) saya ada lebih 30,000 pengundi. Jadi, kalau dia tambah pun saya tak ada masalah,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh dilaporkan berkata, SPR akan menjalankan Kajian Semula Persempadanan kerusi Parlimen dan DUN untuk semua negeri di Semenanjung Malaysia serta Sabah, mulai esok.

Beliau berkata, kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan 18 Ogos lalu.

Katanya, SPR mengesyorkan penambahan 13 kerusi DUN di Sabah berbanding 60 kerusi sedia ada, selain pindaan dan perubahan nama kepada kerusi Parlimen dan DUN di negeri itu.

Lajim yang juga Pengerusi PKR Sabah berkata, pihaknya akan mengemukakan bantahan dalam tempoh 30 tahun, jika tidak berpuas hati dengan pindaan SPR.

“Sama ada setuju atau tidak, hanya esok kita tahu. Nama kawasan persempadanan di mana dan sebagainya kita ada 30 hari untuk buat bantahan selepas esok.

“Kalau kita rasa merugikan kita, kita akan bantah dengan syarat tertentu 100 pengundi dan sebagainya. Kalau perlu ambil injunksi dari mahkamah, kita akan ambil,” katanya.

Pautan:

SPR syor Parlimen dan DUN Semenanjung kekal, Sabah tambah 13 DUN