Rehda sokong pemaju diberi lesen peminjam wang

Iskandar_loan

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (Rehda) menyokong inisiatif lesen peminjam wang oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membenarkan pemaju menawarkan pinjaman perumahan kepada pembeli kerana 70% pembeli gagal peroleh pembiayaan bank.

Malah ahli persatuan sedia memberikan kadar faedah yang lebih rendah walaupun kerajaan membenarkan pemaju mengenakan caj antara 12% hingga 18% mengikut Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Pindaan) 2011.

Presidennya, F D Iskandar berkata persatuan menyokong inisiatif itu kerana jumlah pembiayaan yang ditolak adalah tinggi.

“Ia patut mensasarkan pembeli hartanah pertama atau mereka yang kali pertama meningkatkan taraf hartanah. Ia juga patut mensasarkan mereka yang membeli hartanah bawah RM500,000 sahaja.

“Pembeli tidak mampu membayar baki 15% hingga 20% deposit.

“Ia langkah yang baik oleh kementerian dan pembeli perlu dibantu untuk mengisi luang yang tidak disediakan pihak bank,” katanya dalam sesi taklimat media oleh Rehda mengenai pasaran hartanah di ibu pejabat Kelana Jaya di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata pemaju hanya mampu menawarkan bayaran muka untuk membeli rumah.

“Tidak ada pemaju yang mampu tawarkan pinjaman 100% kepada pembeli rumah.”

Menurut Iskandar, persatuan mahu mencadangkan kenaikan 2% keatas kos pembangunan keseluruhan, menggantikan cadangan kadar faedah 12% hingga 18% yang dibenarkan oleh kementerian.

“Kadar faedah mungkin turun ke paras separuh daripada kadar yang dibenarkan kerajaan. Kami masih berbincang mengenai cadangan ini. Tujuan kami bukanlah untuk mengaut wang, tetapi untuk bantu orang beli unit yang tidak terjual.”

Namun, beliau berkata inisiatif yang diumum Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar itu hanya diberi kepada pembeli rumah pertama dan mereka yang pertama kali meningkat taraf rumah ke unit yang lebih besar.

Misalannya, ada pembeli yang mahu meningkatkan taraf hartanah daripada rumah seluas 700 kaki persegi ke unit yang lebih besar atau mereka yang mahu membeli hartanah bawah harga RM500,000.

Jelasnya lagi, paras keyakinan pasaran hartanah ketika ini berada di paras rendah dan langkah perlu diambil untuk memacunya.

Katanya jualan pukal hartanah perumahan turun daripada 52% pada setengah tahun kedua 2015 ke 39% pada 2016.

Terdapat 7,172 unit dilancarkan, tetapi hanya 2,829 hartanah terjual. Malah pemaju mengambil masa yang lama untuk jual unit mereka.

“Hakikatnya hari ini bukan lagi 2013. Orang tak lagi beratur atau mengundi untuk beli hartanah. Langkah perlu diambil untuk membolehkan lebih ramai orang memiliki kediaman dan pemaju jual unit,” katanya.

Lantaran permintaan yang berkurangan, katanya, pelancaran hartanah juga turun daripada 9,938 pelancaran keapda 7,172 pada 2016. Penurunan drastik jualan unit komersil dikesan. Pada setengah tahun pertama tahun ini, pemaju menyaksikan penurunan 30%.

Angka itu bagaimanapun tidak memuatkan unit komersil yang bernilai RM1.5 juta ke atas, yang menurut pemaju meningkat daripada 25% ke 32%.

“Ada permintaan untuk kediaman bawah paras RM200,000, yang naik daripada 6% ke 14% dan hartanah komersil RM1.5 juta ke atas.

Sebelum ini, Noh Omar berkata kementeriannya mencadangkan pemaju perumahan memohon lesen peminjam wang supaya mereka boleh tawarkan pinjaman untuk membantu pembeli hartanah menangani masalah pembayaran duit muka.