Rumah luas, banyak bilik semakin popular di Malaysia

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia semakin menggemari rumah yang luas dan besar dengan jumlah 3 bilik atau lebih, berbanding pada 1990-an di mana rumah yang dibina mempunyai purata saiz 1,150 kaki persegi, menurut kajian hartanah oleh iPropertyiQ.

Ia mendapati dalam tempoh 26 tahun, saiz kediaman meningkat sebanyak 750 kaki persegi menjadikan purata saiz rumah yang dibeli dan dijual semula kini ialah 1,900 kaki persegi.

Menurut laman web hartanah iProperty.com, meskipun kemampuan daripada segi harga menjadi perkara utama yang dibimbangkan, rakyat Malaysia tetap mencari kediaman lebih besar dan rumah teres menjadi makin popular.

Kajian iPropertyiQ yang merupakan hasil dapatan dijalankan bersama iProperty.com dan Brickz.my turut mendapati permintaan semakin tinggi untuk rumah 3 bilik tidur atau lebih, seiring dengan penambahan penduduk Malaysia kepada lebih 30 juta.

Ia menunjukkan rumah yang dibina di negara ini semakin besar dan luas.

Menjelang 2011, kebanyakan pembeli rumah memilih rumah teres. Pada masa sama, pasaran rumah kembar atau semi D menurun iaitu di bawah 25%, sementara populariti untuk rumah teres terus kekal di atas 75%.

Selain rumah menjadi semakin besar dan permintaan terhadap rumah teres berkembang, data iPropertyiQ juga menunjukkan sejak 2001, rumah dengan 4 bilik tidur atau semakin digemari berbanding rumah 2 bilik atau kurang.

Kajian itu menunjukkan lebih banyak bilik dalam rumah juga memastikan kos yang efektif apabila ahli keluarga tinggal bersama.