Tony Fernandes jadi jurupandu arah dalam Waze

Tony Fernandes 3KUALA LUMPUR: Aplikasi pengemudian serta trafik masa sebenar, Waze, kini memaparkan ciri unik menggunakan suara Pengasas/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes bagi membantu penggunanya.

Biarpun lebih sinonim sebagai peneraju syarikat penerbangan tambang rendah itu, sebaliknya di Waze, Fernandes berperanan sebagai jurupandu arah membantu pemandu mengemudi laluan di jalan raya Malaysia.

“Ramai yang bertanyakan saya mengenai perasaan sebagai juruterbang AirAsia.

Kini, anda boleh menyelami pengalaman itu dan berinteraksi di udara dengan saya sebagai pengawal trafik udara anda.

“Malah, seperti mana (tugas) pengawal trafik itu, saya juga tidak berani berjanji mengenai kesesakan (yang berlaku). Namun, apa yang saya dapat janjikan adalah membantu anda menggunakan laluan paling cepat dan kurang membosankan,” kata Fernandes dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Pengurus Jualan Waze Malaysia, Edward Ling berkata pihaknya teruja untuk mengetengahkan ciri suara Fernandes bagi mengemudi ‘Wazers’ atau pengguna kemudahan itu di sepanjang laluan mereka.

“Penggunaan suara itu adalah antara ciri paling popular yang kami paparkan.

Malah, usaha menghidupkan satu-satu jenama itu dari perspektif sebagai pemandu adalah satu pengalaman yang menarik.

“Paparan suara Fernandes itu kini menjadikan beliau sebagai pembantu anda bagi sebarang laluan, seolah-olah anda mengemudi pesawat sambil memandu,” kata Ling.