Ali Tinju ‘kurang siuman’ ugut Maria Chin, PKR lapor polis

Zuraida-Kamaruddin_Maria-Chin_ali-tinju_600

PETALING JAYA: Sayap Wanita PKR hari ini mengecam tindakan ketua Gerakan Baju Merah, Mohd Ali Baharom yang membuat ugutan terhadap pengerusi Bersih 2.0 supaya berwaspada atau “tidak akan berjalan di atas bumi”.

Ketuanya Zuraida Kamaruddin berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Ali, juga dikenali Ali Tinju, atas kenyataannya yang mengancam keselamatan Maria Chin Abdullah.

“Lagak berani Ali Tinju mengugut wanita tidak akan kekal. Wanita PKR akan membuat laporan polis di seluruh negara,” katanya, yang menyifatkan sebarang tindakan mengugut Maria boleh dianggap sebagai ugutan terhadap semua wanita.

Semalam, FMT memetik Ali Tinju sebagai berkata beliau tidak kisah jika terpaksa masuk penjara bagi menghalang Maria, susulan pengumuman Bersih 2.0 untuk menganjurkan perhimpunan ke-5 di Kuala Lumpur pada 19 November.

“Kita akan serang hendap dia. Tengok masa. Saya tak kisah masuk penjara. 10 tahun pun tak kisah.

“Tunggu dan lihat. Dia tak akan rasa aman, walaupun pengawal peribadi 10 ke 20 orang, kita akan sebat. Dia kena ingat. Saya takut dia nanti tidak akan berjalan di atas bumi. Ini kata-kata bekas tentera,” katanya.

Beliau turut membuat ugutan lebih spesifik: “Nanti kami akan buatkan kaki dia ke atas, kepala dia ke bawah jalan”.

Sebelum ini, Ahli Parlimen DAP Gobind Singh Deo turut menggesa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memulakan siasatan segera terhadap Ali Tinju.

Zuraida berkata lelaki yang mengugut wanita dianggap sebagai tidak siuman.

“Polis perlu memandang perkara ini dengan serius bagi memastikan keselamatan wanita. Tidak syak lagi, ini merupakan satu ugutan,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/15/polis-digesa-siasat-ugutan-tak-jalan-di-bumi-ali-tinju-terhadap-maria/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/14/tunggu-dan-lihat-amaran-ali-tinju-pada-maria-chin/