Annuar Musa: Sediakan wang sebelum lanjutkan pendidikan luar negara

annuar-musaPETALING JAYA: Pelajar yang berhasrat melanjutkan pelajaran mereka ke luar negara perlu mendapatkan biasiswa terlebih dahulu, kata pengerusi MARA, selepas pendedahan 150 pelajar Malaysia di Mesir bakal tercicir disebabkan hutang yuran yang tidak dapat diselesaikan.

Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan atau mana-mana agensi tidak boleh disalahkan kerana gagal memberikan bantuan.

Katanya beberapa syarat perlu dipenuhi pelajar yang berhasrat belajar ke luar negara, termasuk memastikan kemampuan kewangan mereka.

“Pelajar mesti pastikan kemampuan mereka kalau mereka memilih sendiri untuk belajar luar negara. Terdapat beribu-ribu pelajar persendirian di luar negara dan bukan hanya Mesir,” katanya kepada FMT.

Menurut Annuar, MARA masih meneruskan program menghantar pelajar ke luar negara.

“Namun mereka dipilih terlebih awal mengikut syarat dan dasar semasa tertentu yang diluluskan oleh MARA.”

Berita Harian hari ini melaporkan 150 pelajar Malaysia di 8 universiti di Mesir bakal disingkirkan selepas menanggung hutang yuran sebanyak RM4.5 juta.

Pelajar terpaksa berdepan dengan hutang pembelajaran kerana tidak mendapat sebarang tajaan atau pembiayaan pendidikan semasa tempoh pembelajaran mereka di Mesir.

Pelajar yang terbabit ialah dari jurusan perubatan, pergigian dan farmasi yang bergantung sepenuhnya dengan keluarga membayar yuran pengajian dan sara hidup mereka.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Senator Chong Sin Woon berkata terdapat banyak lagi pelajar ke luar negara atas tanggung sendiri.

“Kerajaan tidak akan tamatkan biasiswa yang diberikan tanpa alasan. Kalau dari mula atas pembelajaran sendiri, mereka tak boleh kata kerajaan tak tangung. Mereka perlu dapatkan biasiswa dari awal. Kalau ada hutang, itu tanggungan mereka sendiri,” katanya.

FMT cuba mendapatkan komen Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya perlu dapatkan laporan penuh dahulu,” katanya ringkas.