Hari Malaysia hari kelahiran musuh Tunku, Kuan Yew – Ku Seman

ku-seman-tunku-abdul-rahman-kuan-yew-1

PETALING JAYA: Bekas pengarang akhbar arus perdana berbahasa Melayu, Utusan Malaysia mendedahkan Tunku Abdul Rahman mungkin tidak memilih 16 September sebagai Hari Malaysia jika beliau sedar ia hari ulangtahun kelahiran musuh ketatnya, Lee Kuan Yew.

Ku Seman Ku Hussain dalam muat naik di Facebook miliknya berkata, ia tarikh yang lebih signifikan kepada rakyat Singapura yang menyambut ulang tahun ke-93 bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

“Kuan Yew pernah menulis, ‘Tunku tidak menyedari bahawa tarikh itu (16.09.1963) harijadi saya yang ke 40. Kalau beliau tahu, sudah pasti menukar tarikh tersebut kerana hari jadi saya tidak mungkin boleh menjadi hari yang baik bagi Tunku’,” tulis beliau memetik kata-kata Kuan Yew beberapa tahun dahulu.

Tarikh 16 September adalah hari untuk mengingatkan kemasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Malaya yang kemudiannya menjadi Malaysia.

Namun ketika sehingga baru-baru ini selepas Umno merudum pada Pilihan Raya Umum 2008, dan sebagai langkah mengambil hati parti komponen Sabah dan Sarawak yang menyelamatkan BN, tarikh tersebut disambut semula.

“Tarikh asal penubuhan Malaysia adalah 31 Ogos 1957 seperti yang telah dipersetujui antara Tunku dan bekas Perdana Menteri Britain, Herald Macmillan. Tarikh 16 September hanya anjakan setelah mendapat tentangan hebat daripada Indonesia.

“Kerajaan (dulu) tidak menyamakan 16 September sejak tahun 1963 setaraf dengan 31 Ogos. Memang itulah yang sepatutnya tetapi sejak 2010 selepas UMNO merudum pada Pilihan Raya Umum 2008, sejarah telah diperdagangkan di pasar politik,” tulis Ku Seman.

Tambah Ku Seman, itu 16 September tidak signifikan kepada kita kerana sudah ada 31 Ogos hari ulang tahun kemerdekaan negara.

“Tarikh 16 September hanya mengingatkan kemasukkan Sabah, Sarawak dan Singapura dalam Malaya yang kemudiannya menjadi Malaysia. Tetapi pada 1965 Singapura telah keluar dari Malaysia,” katanya.