Keluhan peguam tidak dibayar, Peguam Negara bertindak

Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara hari ini mengarahkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) menyediakan laporan terperinci berhubung kelewatan melangsaikan bayaran khidmat bantuan guaman tajaan kerajaan untuk golongan miskin.

Menurut kenyataan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara, YBGK perlu mengenal pasti masalah berkenaan dengan tepat serta mengemukakan langkah penambahbaikan yang bersesuaian bagi menyelesaikan sebarang isu berbangkit dan seterusnya mengelakkan ia daripada berulang.

“Selaku pengerusi YBGK, peguam negara amat komited dalam memastikan YBGK beroperasi secara efisien dan cekap demi memastikan warganegara Malaysia yang kurang berkemampuan mendapat hak untuk diwakili peguam, perbicaraan adil serta pembelaan sewajarnya selaras peruntukan di bawah Fasal (3) Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan,” kata kenyataan itu.

FMT sebelum ini memetik Pengerusi Jawatankuasa Badan Peguam Selangor Salim Bashir, yang berkata hampir RM822,000 belum dilangsaikan, manakala rakan sejawat Joseph Mathews dari Negeri Sembilan berkata kerajaan berhutang RM106,000.

FMT difahamkan jumlah keseluruhan hutang kepada peguam di Semenanjung antara Januari dan Ogos mencecah RM3.4 juta.

Salim berkata jawatankuasa bantuan guaman negeri terpaksa merayu ahli supaya mewakili suspek dan tertuduh.

“Tapi kita tak boleh paksa peguam mengambil kes kerana ia secara sukarela,” kata Salim.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bantuan Guaman Selangor A Jeyaseelan berkata peguam tidak lagi meyakini rancangan itu walaupun mereka sedar anak guam perlu diwakili secara berkesan.

 

Kewangan skim bantuan guaman tajaan kerajaan gawat