Najib salahkan polisi ‘dekad lalu’ punca kesesakan

najibsee

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menyalahkan dasar pentadbiran lampau kerana kurang memberi tumpuan kepada pengangkutan awam sehingga menyebabkan kesesakan jalan raya yang terpaksa dihadapi rakyat pada masa ini.

“Pada dekad-dekad lalu, kita tidak fokus kepada pembangunan pengangkutan awam.

“Kini kita berhadapan dengan kesannya dengan masalah trafik bukan sahaja di Lembah Klang, tetapi di bandar lain,” katanya dalam ucapan perasmian majlis pecah tanah MRT aliran Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya hari ini.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pemimpin terdahulu, kenyataan Najib hari ini menyerupai ucapannya pada Jun lalu, yang mengkritik bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana gagal menyediakan sistem pengangkutan awam selama 22 tahun mentadbir negara.

Najib hari ini berkata beliau komited meneruskan transformasi besar-besaran pengangkutan awam.

Menurutnya, kerajaan akan terus mengambil langkah memulihkan masalah pengangkutan awam dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur kota raya bertaraf dunia lain.

najibsee11

Projek transit aliran ringan (LRT) Star dan Putra dimulakan pada 1996, di bawah era kepimpinan Dr Mahathir yang mentadbir Malaysia dari 1981 ke 2003.

Najib meneruskan kesinambungan itu dengan projek sambungan LRT dan MRT di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya mempunyai 37 stesen – 11 di bawah tanah meliputi jarak 52.km dan dijangka menelan kos RM32 bilion.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata projek ini sepatutnya sudah dilaksanakan 20 tahun lalu, ketika era pentadbiran Dr Mahathir.

“Tapi atas sebab tertentu, ia tidak dibuat. Maka kita melakukannya sekarang.

“Visi pengangkutan Najib luas. Beliau bukan hanya lihat Lembah Klang sahaja, dengan projek Lebuh Raya Pan-Borneo di Sabah dan Sarawak dan Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura,” katanya lagi.

Najib sindir Dr M gagal bangunkan pengangkutan awam