Pelajar kaji vaksin Zika di ladang herba bapa

zika_vik_600_

MUAR: Seorang pelajar sebuah universiti di kampus Alor Gajah, Melaka, Hariz Haikal Nasuha kini sedang membuat penyelidikan bagi menghasilkan vaksin bagi mencegah jangkitan virus Zika.

Pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Bioproses, Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UniKL MICET) itu membuat penyelidikan tersebut di ladang herba terbesar di Asia milik bapanya, Nasuha Kasian, 62, seluas 1,295 hektar di sini.

Hariz Haikal, yang juga ketua penyelidik Nasuha Biotechnology & Biodiversity Sdn Bhd berkata pihaknya mula menjalankan kajian secara makmal sejak 6 bulan lepas dan mendapati pati wap campuran enam jenis herba mampu merencatkan sel virus Zika daripada terus merebak.

“Penggunaan pati herba tersebut juga mampu mematikan virus tersebut secara perlahan,” katanya.

Beliau berkata hasil daripada penyelidikan itu, pihaknya berjaya menghasilkan minyak pati wap berasaskan pati herba campuran yang boleh dimajukan untuk dijadikan vaksin virus Zika.

“Kita menggunakan minyak pati wap bagi menghasilkan penyembur penghalau serangga dengan jenama ‘Organic Natural Repellant’ yang mengandungi 6 jenis herba yang ditanam di ladang di Jalan Muar-Pagoh tanpa membabitkan bahan kimia,” katanya.

Beliau berkata semburan repelan itu akan bertindak menutup lubang pernafasan nyamuk aedes yang akan menyebabkannya mati serta-merta apabila disembur terus pada nyamuk aedes.

“Ia dihasilkan menggunakan teknologi hijau dan tidak mendatangkan kesan sampingan kepada manusia dan alam sekitar kerana kita menggunakan bahan organik dan bebas daripada bahan kimia dan racun yang mampu mendatangkan kesan sampingan jangka panjang kepada manusia,” katanya.

Hariz Haikal berkata untuk melakukan penyelidikan secara klinikal mengenai kajian tentang kesesuaian pati herba tersebut kepada manusia dalam jangka masa panjang, pihaknya memerlukan masa dan dana yang besar.

Sehubungan itu katanya, pihaknya mengalu-alukan bantuan geran daripada kerajaan dan pihak yang berminat untuk mengadakan kerjasama bagi melakukan penyelidikan saintifik secara menyeluruh bagi menghasilkan vaksin virus Zika.

Sebanyak 6 kes jangkitan virus Zika dilaporkan di negara ini termasuk 2 kes terbaru melibatkan adik-beradik dikesan di Miri, Sarawak dan Setapak, Kuala Lumpur.