Pemandu teksi gugur protes, mahu Najib campur tangan

PERS1MPETALING JAYA: Persatuan pemandu teksi menggugurkan rancangan tunjuk perasaan 6 hari membantah keputusan kerajaan membenarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan Uber dan Grab.

Presiden Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Pers1m) Kamaruddin Mohd Hussain membuat pengumuman itu selepas mendapati bantahan terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD) tidak akan menyelesaikan masalah mereka.

Kumpulan itu kini mengubah pendekatan dengan merancang menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Rancangan (tunjuk perasaan 6 hari) dibatalkan memandangkan taklimat SPAD lain daripada yang kami sangkakan (berhubung Program Transformasi Industri Teksi).

“Oleh itu eloklah perkara ini dirujuk kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“SPAD banyak berdolak dalih, dalam taklimat bersama SPAD, jawapan bagi soalan kami seolah-olah kerajaan yang bertanggungjawab, seolah-olah Datuk Seri Najib mempunyai agenda (meluluskan Uber dan Grab).

“Protes tidak menyelesaikan masalah, jadi kita ambil keputusan menyerahkan memorandum kepada perdana menteri pada 26 September ini di Putrajaya. Kita mahu lihat ketelusan perdana menteri menjaga kebajikan pemandu teksi,” katanya ketika dihubungi FMT.

Kamaruddin berkata demikian mengulas rancangan tunjuk perasaan yang akhirnya digugurkan.

Terdahulu, SPAD menerusi Program Transformasi Industri Teksi (TITP) mengesyorkan lesen baharu dikeluarkan kepada pemandu teksi yang mempunyai rekod prestasi bersih bagi memupuk semangat keusahawanan di peringkat individu.

Ia juga menyediakan pilihan kepada pemandu teksi berkelayakan untuk keluar daripada belenggu sistem pajak sekali gus untuk terus berdaya saing.

“Rancangan SPAD mengeluarkan permit baharu kepada pemandu teksi menerusi rancangan TTIP adalah satu idea yang tidak bijak dan bangang, kerana ia menyebabkan kebanjiran dalam industri teksi,” katanya.

Ini kerana, beliau berpendapat tiada gunanya memperoleh permit teksi untuk memandu sendiri sekiranya penumpang ‘dirompak’ kereta sapu.

Beliau menyifatkan kenyataan SPAD ibarat memberi gula-gula kepada pemandu teksi bagi meredakan kemarahan mereka terhadap Uber dan Grab.

“Saya harap pemandu teksi tidak terpengaruh dengan tawaran SPAD,” tambah Kamaruddin.

Semalam,pemandu teksi tempatan mengugut akan meninggalkan perkhidmatan teksi sedia ada dan bekerja sendiri sebagai pemandu peribadi seperti Uber serta Grab.

 

Pautan:

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/14/pemandu-teksi-rancang-protes-6-hari-bantah-uber-grab/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/08/16/saingi-uber-grab-spad-perkenal-skim-bebas-pemandu-dari-pajakan-syarikat/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2016/09/14/halalkan-uber-grab-pemandu-teksi-ugut-jadi-pemandu-peribadi/