Penduduk flat mahu tindakan selepas bil air, api cecah ratusan ribu

flat

KUALA LUMPUR: Penduduk sebuah flat kos rendah di Ampang hari ini membuat laporan polis terhadap badan pengurusan bersama (JMB) selepas mendapati tunggakan bil air dan eletrik bangunan itu mencecah sebanyak RM765,448.

Mereka turut mendapati subsidi air kerajaan Selangor yang sepatutnya diterima setiap penduduk iaitu RM 11.40 setiap unit tidak dapat dinikmati selama ini.

“Saya hairan dan terkejut apabila terima aduan daripada penduduk,” kata Pengerusi Persatuan Kesedaran Sivil Malaysia, Jenice Lee, ketika membuat laporan mewakili penduduk flet kos rendah Pandan Perdana di Balai Polis Pandan Indah, hari ini.

Beliau berkata beberapa dokumen menunjukkan ada yang tidak kena dan perlu siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Laporan akaun disediakan JMB tidak lengkap, tiada tandatangan dan tidak diaudit,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, JMB yang mengutip wang daripada penduduk bertanggungjawab memastikan perkhidmatan tidak berdepan dengan masalah.

“Mereka sepatutnya bertanggungjawab dengan setiap persoalan yang dibangkitkan pemilik. Bukan diam seribu bahasa walaupun berkali diasak soalan ke mana wang penduduk yang dibayar setiap bulan,” katanya.

Laporan kewangan disediakan JMB turut mendapati tiada sebarang catatan berhubung subsidi air dari Selangor.

Setakat ini, sebanyak 700 unit flat Pandan Perdana berdepan tunggakan bil Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) berjumlah RM137,428.

Penduduk, Chong Kah Siong yang sudah menetap di situ selama 18 tahun, berkata perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Jika mengikut kiraan subsidi lama satu unit RM11.40X700 unit, pengurusan terima RM7,980 setiap bulan. Untuk tempoh dari Januari-Ogos 2016, jumlah subsidi diterima ialah RM63,840. Jumlah bayaran JMB kepada Syabas daripada Januari-Julai 2016 ialah RM71,630,” katanya.

Menurutnya, subsidi kerajaan RM63,840 dan bayaran JMB kepada Syabas (RM71,630) secara keseluruhan berjumlah RM135,470.

“Kenapa masih ada tunggakan sebanyak RM137,428.77? Tunggakan atau perbezaan sebenarnya RM1,958.77 sahaja. Kita syak pihak pengurusan tidak membayar ke Syabas seperti yang dicatat dalam laporan tahunan,” katanya.

Laporan itu turut mencatatkan bayaran perkhidmatan lif kepada syarikat Potensi Terus Industri Sdn Bhd berjumlah RM56,940.

“Namun menerusi beberapa keping cek diterima syarikat berkenaan sejak Januari-September 2016, hanya RM34,517.32. Jumlah diterima mereka tidak selaras dengan bayaran yang dikutip. Baki RM22,422.68 masuk akaun siapa?” soal Chong.

“Itu tidak termasuk tunggakan elektrik. Rekod tunggakkan bagi Blok A, B,C, D pada 11 April 2016 menunjukkan jumlah hutang sebanyak RM570,019.81.

“Pihak pegurusan tidak pernah bayar bil eletrik sejak Januari lalu. Kita risau Tenaga Nasional Berhad buat pemotongan tidak lama lagi,” katanya.